KUALA LUMPUR : Rundingan mengenai kerusi yang akan ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah hampir selesai.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjelaskan, ketika ini hanya ada kira-kira tujuh atau lapan kerusi Parlimen yang masih dalam rundingan.

"Jadi kita masih ada tujuh ke lapan kerusi lagi masih dirundingkan dan proses saringan calon pun berjalan dengan baik.

"Setiap minggu kita ada ribuan jentera dan sukarelawan berkempen, menelefon, ketuk pintu (pengundi) dan adakan latihan dan sebagainya." katanya melalui video pendek yang dimuat naik di laman sosial TikTok PKR pada Isnin.

Tambahnya, walaupun tempoh kempen pendek, namun PKR yakin peluang parti itu untuk menang PRU15 adalah sama baik dengan parti lain kerana UMNO didakwa tidak pernah mendapat kembali kekuatan mereka selepas tewas pada PRU 2018.

"Jadi saya seru semua, baik anggota PKR, penyokong PH dan rakyat muda-muda sertai kempen kita kali ini.

"Kalau anda turut serta, muat turun aplikasi CISTA dan anda akan diuruskan supaya dapat menyumbang pilihan raya yang lebih teratur dan baik," ujar beliau lagi.