JERLUN: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui lebih selesa untuk bertanding sebagai calon parti berkenaan dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Jerlun berbanding Parlimen Langkawi.

Ulasan itu hadir susulan ura-ura yang mengatakan bahawa beliau calon paling sesuai untuk menggantikan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding lagi didalam PRU15 termasuk di Langkawi.

Menurut beliau, kawasan Jerlun lebih dekat dengan dirinya memandangkan telah beberapa kali menjadi calon dan menang di kerusi Parlimen berkenaan dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, tegasnya, keputusan parti itu bagi menentukan senarai calon bagi bertanding dalam PRU15 masih belum dibuat.

"Setakat ini tak ada keputusan apa-apa tetapi saya lebih selesa dekat Jerlun, sebab ini tempat saya dari dulu, tidak ada sebab untuk saya berpindah ke tempat lain," katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok, Jerlun pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa keahlian Pejuang di negeri Kedah adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, jelasnya, parti akan sentiasa memberikan fokus secara sama rata bagi berhadapan dengan PRU15 tanpa mengira latar belakang kawasan atau negeri yang akan ditandingi.

"Kalau dari segi keahlian paling ramai di Kedah, saya ingat Pejuang tidak asing kepada rakyat Kedah. Bukan kerana parti itu baru (ditubuhkan) tetapi kerana tokoh di sebalik Pejuang itu sendiri, Tun Mahathir, saya, Datuk Amiruddin, Datuk Marzuki (yang juga) Timbalan Presiden (ICnya adalah) 02 (Anak Kedah) juga, Ketua Penerangan Ulya (pun) orang Kedah malah Ketua Pejuanita (juga) 02," jelas beliau.

Awal Mac lalu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU15.

Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda untuk terlibat dalam arena politik serta pilihan raya selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.