TASEK GELUGOR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas kenyataan  Pengerusi Pakatan Harapan (PH),  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah parti yang kaya.

Wan Saiful berkata, yang kaya sebenarnya adalah Anwar sendiri memandangkan beliau memaklumkan tidak akan mengambil gajinya sekiranya diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru beliau meminta Anwar mendedahkan  mengenai harta yang diperolehnya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan tersebut.

"Saya tak baca secara sepenuhnya, tetapi saya rasa kalau tengok betul-betul yang kaya ini Anwar Ibrahim seorang saja, sebab itu dia tak perlu ambil gaji kalau jadi Perdana Menteri, jadi yang ada kemampuan yang tolak gaji ini mesti dah kaya dah, cuba cerita sikit dia dapat harta mana? Sebelum tuduh orang," katanya pada sidang media di bilik Gerakan PN di Tasek Gelugor pada Rabu.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang - Tok Mat


Beliau mengulas kenyataan Anwar yang  mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.

Dakwa Anwar, ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!

Sementara itu, Muhyiddin dalam kenyataan balasnya mencabar  Anwar mengemukakan bukti  berhubung  kenyataan itu.

Menurut Muhyiddin,  Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), itu hanya membuat fitnah semata-mata tanpa mengemukakan sebarang bukti.