Calon wanita GRS itu melihat Kota Kinabalu mempunyai segala yang diperlukan untuk menjadi sebuah bandaraya maju selain memerlukan seorang yang boleh melakukan perubahan yang nyata.
“Saya ingin merealisasikan Kota Kinabalu Baharu dan membawa pembaharuan kepada bandaraya ini selepas sekian lama kita diwakilkan pemimpin parti tertentu. Seperti yang kita lihat selepas tiga penggal boleh dikatakan kebanyakannya adalah daripada pembangunan kerajaan negeri.
“Seharusnya, sebagai wakil rakyat di parlimen, seseorang itu haruslah lantang menyuarakan hasrat dan aspirasi rakyat, terutama dalam kita memperjuangkan hak rakyat Sabah sebagai salah satu rakan kongsi untuk pembentukan negara Malaysia yang kita cintai,” katanya.
Menurut Tsai Yiew, dia tekad untuk memberi fokus kepada isu pendidikan, kesesakan lalu lintas, masalah banjir, pemerkasaan ekonomi belia dan idea pembangunan ekonomi setempat bagi mengubah nasib rakyat khususnya bagi rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan bandar.
Tsai Yiew sedia maklum bahawa sebagai muka baharu, dia berhadapan dengan stigma kurangnya pengalaman dan kredibiliti dalam politik.
“Sebagai wajah baharu dalam politik, saya tahu saya akan menghadapi cabaran yang berbeza seperi aspek kepercayaan orang terhadap kemampuan saya sebagai wakil rakyat. Namun begitu, saya percaya dengan diri saya dan juga parti yang saya wakili dalam memperjuangkan suara rakyat di Dewan Rakyat, jika saya diberikan peluang itu,” katanya.
Menurutnya, GRS adalah sebuah parti yang merangkumi semua suara rakyat Sabah.