KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Saarani Mohamad berpendapat tidak wajar meletakkan semua kesalahan kepada Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas.

Beliau berkata ini kerana selepas kejatuhan BN ketika PRU14 pada 2018, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN adalah individu memimpin parti sehingga berjaya bangkit kembali menerusi kemenangan di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Betul kita kalah PRU15 tetapi sewaktu kita menang tujuh PRK dan dua PRN, itulah orang yang jadi presiden UMNO. Jadi, tak betul kalau orang kata kekalahan kita di PRU15 ini semua kita letak di kepala presiden parti.

"Semua keputusan itu juga dibuat oleh Biro Politik UMNO dan kemudian disahkan oleh mesyuarat MT. Saya tak bersetuju kalau orang letak kesalahan itu atas tanggungjawab presiden seorang sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menteri Besar Perak itu berkata meskipun kalah, UMNO kini berada dalam pentadbiran Kerajaan Pusat dengan Ahmad Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

"Kalau dilakukan pemilihan parti, ditidakkan kemampuan dan jasa dia (Ahmad Zahid), siapa boleh pastikan dengan pemilihan UMNO ini, presiden UMNO yang baharu akan jadi timbalan perdana menteri. Jika kita tak kekalkan Ahmad Zahid, kapal ini akan pecah," katanya.

Mengenai pemilihan parti, beliau berkata setakat ini usul dikemukakan perwakilan adalah supaya dua jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dan sekiranya diluluskan hari ini, pemilihan akan menyaksikan pemilihan bagi jawatan lain termasuk naib presiden.

"Kita juga telah memutuskan dalam mesyuarat perhubungan negeri bahawa Perak, 100 peratus menyokong presiden semasa iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Selain itu, beliau juga akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong pada pemilihan akan datang.

Pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 19 Mei ini iaitu enam bulan selepas tarikh PRU15.

-- BERNAMA