KUALA NERUS: Menjelang 19 November depan, pastinya golongan belia yang pertama kali akan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU15) teruja untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Namun dalam keterujaan mereka untuk mengundi, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), isu harga tiket penerbangan yang tinggi, serta jadual kekerapan pengangkutan awam darat (bas) sering menjadi kegusaran mereka.

Bagi pelajar IPT di Semenanjung yang mahu pulang ke Sabah mahupun Sarawak, isu utama adalah pengangkutan pulang (penerbangan) mereka ke kampung halaman.

Menurut pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Johari Julkipli yang bakal mengundi di Ranau, Sabah, dia mendakwa hasratnya untuk mengundi nanti mungkin terpaksa dilupakan kerana kekangan kewangan disebabkan kos penerbangan yang terlalu tinggi.

“Sebentar tadi saya ada semak harga, harga sekitar RM1,000 dan ke atas untuk pergi dan pulang, pastinya sukar untuk kami sebagai pelajar ini.

“Mungkin dengan kekangan berkenaan, hasrat saya untuk tunaikan tanggungjawab terpaksa saya lupakan,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Sementara itu, bagi pelajar IPT di Semenanjung yang mahu pulang ke negeri-negeri lain, isu kekerapan bas yang tidak banyak menjadi isu mereka untuk pulang.

“Dari aspek harga tiket kita bolehlah sediakan kerana tidak semahal tiket penerbangan.

“Tapi jadual kekerapan bas pula jadi isu utama. Banyak destinasi kami sudah tanyakan, tiketnya sudah habis dijual,” keluh pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Haikal Suhairi yang bakal pulang ke Negeri Sembilan kelak.

Masalah yang dihadapi itu sedikit sebanyak menjejaskan keterujaan mereka untuk mengundi buat kali pertama.

Bagi Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, Al-Iman Zaidi, ia dapat diselesaikan sekiranya pihak berwajib mempermudah cara untuk mereka pulang mengundi.

“Saya mengharapkan ihsan pihak berwajib mahupun universiti untuk memudahkan cara bagi pelajar pulang ke kawasan mengundi.

“Kami semua teruja untuk mengundi, namun dengan kekangan ini ia menghalang daripada kami untuk memilih calon wakil rakyat bagi kawasan kami,” jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 November ini kepada pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada PRU15.