KUALA LUMPUR: Apabila Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bakal diadakan ketika musim tengkujuh yang mengundang pelbagai kemungkinan, adalah wajar untuk kebenaran mengundi awal diperluaskan.

Demikian gesaan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, yang menjelaskan bahawa pengundian awal dapat mengurangkan risiko gangguan kelancaran pelaksanaan proses demokrasi di hari kemuncak, agar keterlibatan seluruh rakyat itu dapat dijamin.

Katanya, isu yang menyelubungi undi pos terutamanya, dapat diselesaikan menerusi pengundian awal, supaya tiada lagi masalah kertas undi lambat sampai atau sampai selepas hari mengundi.

“Undi awal masih undi yang sah dan tak boleh kata ia salah, ia tetap dikira.

“Kalau kita lakukan undi awal di beberapa tempat di luar negara, mungkin kita boleh kurangkan sedikit beban yang digalas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita sedar, mereka pun ada kekangan tenaga kerja," ujarnya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Menurutnya, isu kedua yang boleh diatasi dengan pengundian awal adalah keterbatasan waktu para petugas barisan hadapan kesihatan misalnya, untuk membuang undi sekiranya mereka ditugaskan di kawasan terjejas.

Katanya, mereka ini tidak boleh mengambil cuti atau mungkin terpaksa bekerja sepenuh masa, maka tiada kesempatan untuk melunaskan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi negara.

“Ini juga sebagai langkah berjaga-jaga. Kita risau kalau ramai sangat datang berpusu-pusu ke tempat mengundi, ia akan meningkatkan risiko penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Mungkin ada beberapa perkara dalam perlembagaan SPR yang perlu dipinda, katanya.

Begitupun, jelas Tharma, langkah peluasan kebenaran pengundian awal itu amat diharapkan untuk memastikan pilihan raya di negara ini lebih selamat, efektif dan mewakili suara seluruh rakyat Malaysia.