TAWAU: Daerah Tawau berpotensi dimajukan berikutan kedudukannya yang terletak di sempadan negara jiran Indonesia, khasnya ibu kota baharu negara itu, yang kini dalam pembinaan.

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong berkata, semasa parti itu memerintah Sabah, segala rancangan pembangunan sudah diatur untuk membangunkan dan menaik taraf Tawau dan Sandakan kepada status bandar raya.

Beliau yang juga bekas menteri kerajaan tempatan dan perumahan (KKTP) Sabah turut menyatakan kekesalan kerana selepas bertukar kerajaan pada 2020, rancangan itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan yang mengambil alih pemerintahan.

"Tawau antara daerah di Sabah yang perlu dibangunkan. Selain apa yang ada hari ini, ia kerana, Tawau berada di persempadanan dengan negara jiran.

"Jadi, Tawau ini bukan sahaja perlu berubah, tetapi dari segi infrastruktur, komuniti, frasarana di sini juga perlu kita tingkatkan.

"Itu matlamat kita dulu masa Warisan jadi kerajaan," katanya ketika ditemui selepas berkempen sekitar taman Megah Jaya Tawau di sini semalam.

Justeru, Jaujan berkata, sekiranya sekali lagi Warisan diberi mandat memerintah Sabah, rancangan pembangunan tersebut akan diteruskan.

"Kita ada hasrat supaya Tawau ini dinaikkan taraf dari Majlis Perbandaran kita jadikan antara bandar raya di Sabah, selain Kota Kinabalu, termasuk juga Sandakan. Ia dalam perancangan kita.

"Sudah tentu apabila jadi bandar raya, bukan sahaja penduduknya bertambah, tetapi ia turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi.

"Kini, yang penting, tukar kerajaan supaya dasar baru dapat kita terjemahkan," tambahnya.

Mengikut data Jabatan Perangkaan pada 2020, daerah Tawau mempunyai 438,100 penduduk dengan keluasan 196 kilometer persegi.