KUALA LUMPUR: Penubuhan pasukan petugas khas berhubung kes Pulau Batu Puteh memberi peluang kepada Malaysia untuk membuat persiapan dan menilai strategi sekiranya ingin menyemak semula keputusan terhadap status pulau berkenaan.

Demikian jelas Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Herizal Hazri ketika mengulas mengenai keputusan Kabinet pada Jumaat untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas berhubung kes tersebut.

“Kita harus menunjukkan komitmen berterusan terhadap kes Pulau Batu Puteh kerana ini salah satu elemen sovereignty (kedaulatan) negara kita.

“Walaupun satu proses telah diadakan 13 tahun lepas, kita mempunyai hak untuk menyemak keputusan itu dan kita harus mempersiapkan diri kita jika kita mahu menyemak semula,” jelas Herizal.

Beliau turut berpandangan bahawa sebarang kelompongan yang menyebabkan kegagalan strategi negara pada 13 tahun lepas dapat dikaji semula dan ditambah baik.

“Kita mampu melihat strategi kita pada 13 tahun lalu. Apakah mungkin kelompongan-kelompongan yang menyebabkan kita gagal dalam proses tersebut, serta merancang strategi lain.

“Ini antara perkara yang memastikan bahawa kita tidak lagi membawa hujah yang sama daripada 13 tahun yang lepas," ujar Herizal.


Pasukan Petugas | Signifikan menyemak semula kes Pulau Batu Puteh

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju untuk mewujudkan sebuah pasukan petugas khas berhubung kes Pulau Batu Puteh.

BACA: Pasukan petugas khas diwujudkan, semak semula kes Pulau Batu Puteh - PM

Menurut beliau, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.