Adakah keagungan sesuatu karya seni itu mampu menggerakkan tamadun kita? Berkembang ke tahap yang sepatutnya? Di mana karya itu mampu menusuk hati kita, menghasilkan empati yang membolehkan kita merenung tentang persepsi yang kita pegang selama ini? Karya seni yang tidak mempunyai kaitan dengan keadaan sekeliling, keadaan agama dan status masyarakat negara kita; hanya berada di atas pulau mereka sendiri. Teguh berdiri bersama ego mereka, melahirkan sikap eksklusif dan, seperti Plato, yang merasakan bahawa akal individu itu mampu mencapai kebenaran dengan sendirinya.
Tiada sesiapa yang menafikan kebolehan si pelukis untuk memaparkan karya seni yang tiada batas, tetapi karya seni yang tidak ingin menyentuh dan mencetuskan persoalan tentang keadaan tempat lahirnya adalah sesuatu yang merugikan. Ia hanya akan dipanggil sebagai pengkarya dan bukan lagi pencetus minda rakyat untuk berfikir secara kritikal. Ianya sesuatu yang melelahkan jika karya seni itu tidak berjaya mengungkapkan nilai-nilai kemanusiaan yang diperlukan bagi meneruskan kesinambungan budaya dan tamadun kita.
Pameran Pulau Melayu – Lost and Found, yang diadakan di Lostgenspace, sebuah ruang bebas yang terletak di Jalan Panggung merupakan pameran seni yang menyentuh soal-soal bangsa dan identiti di Malaysia. Pameran itu merupakan hasil gabungan daripada empat artis tempatan iaitu Chong Kim Chiew, Low Yi Chin, Liew Kwai Fei dan Minstrel Kuik. Mereka membesar bersama kuota yang berdasarkan etnik mereka, Dasar Ekonomi Baru, yang secara tidak langsung menentukan takdir dan realiti mereka sebagai orang Malaysia.
Karya-karya mereka merupakan percubaan mereka untuk menentukan naratif mereka dari pandangan 'The Other', suatu keperluan yang signifikan bagi menukar persepsi negatif 'pendatang' yang seringkali dibangkitkan oleh individu-individu yang melabelkan diri mereka sebagai pejuang bangsa. Karya-karya mereka dihasilkan dengan niat agar toleransi di antara agama dan bangsa berjaya dikuatkan, menghapuskan segala prejudis yang ada di kalangan rakyat, dan mencetuskan nilai empati agar anak segala bangsa di negara ini mampu berdiri teguh bersama-sama.
Kita harus sentiasa diingatkan, bahawa segala sentimen jelek yang wujud pada zaman ini, hanya digunakan sebagai sarana untuk mendapat kuasa dan monopoli ekonomi. Proses ke arah mencari kebenaran itu sendiri harus sentiasa dilihat secara objektif, kerana seringkali persoalan kebenaran itu dieksploitasikan untuk mendapat kuasa-kuasa yang ada di negara kita.
Karya-karya mereka berjaya menyentuh beberapa isu iaitu: persoalan batasan di antara negara, persoalan naratif gender, kerapuhan spesis manusia yang dihimpit modenisasi, dan perasaan yang lelah dibungkam stereotaip bangsa. Setiap isu yang dihasilkan barangkali merupakan sesuatu yang peribadi, yang membangkitkan mereka untuk mencabar dan mempersoalkan segala penceritaan yang selama ini mendominasi wacana negara.
Boundary Fluidity oleh Chong Kim Chiew
Kain terpal adalah pilihan material Chong. Beliau melakarkan peta Malaysia ke atasnya, tetapi terdapat pelbagai garisan dan lapisan cat putih yang menunjukkan nilai ketaksaan ke atas tempat yang kita semua panggil Malaysia. Realiti rakyat kita ditentukan oleh pelbagai faktor, kita dibentuk melalui keluarga, agama, institusi pendidikan, bangsa dan akhir sekali, lapisan sempadan tempat kita. Beliau mencerna dan menghancurkan segala batasan yang ada melalui kebolehan beliau sebagai penggiat seni. Mengikut kenyataan beliau:
"Peta tersebut tidak lagi terikat dengan definisi tempat itu, tetapi mampu berubah dan bertindak balas kepada tempat di mana ia ditunjukkan."
Melalui karya foto dan video, kain terpal itu diletakkan di kawasan yang tidak dapat kita kenali, di kawasan persisiran pantai, di dalam tempat letak kereta, di balkoni konkrit yang melatar belakangkan kota Kuala Lumpur. Kesemua karyanya mencetuskan persoalan kita tentang definisi tempat-tempat yang ada di keliling kita, adakah keyakinan kita terhadap tempat yang kita kenali sebagai Malaysia/Kuala Lumpur merupakan proses yang sudah pun berakhir? Proses mengenali tempat kita semakin kabur apabila kita berada di dalam kawasan yang samar-samar karakternya, kita dikembalikan ke tempat awal, mempersoalkan segala yang kita rasakan benar tentang tempat kita. Kita mula memikirkan kembali tentang definisi itu sendiri.
Kain terpal adalah percubaan beliau untuk memisahkan proses pembinaan peta itu daripada nostalgia tempatnya sendiri, dengan demikian membebaskan kita daripada perasaan merasakan diri kita sebagai 'pencipta/pemilik' kepada tempat tersebut.
Paper Boat . Pulau Ular oleh Low Yi
Artis yang berasal dari Kuantan ini menghasilkan karya yang mengutamakan hubungan beliau dengan keadaan sekelilingnya. Simbiosis di antara alam dan manusia. Berdasarkan kenyataan beliau, modenisasi yang tidak dapat dikawal ini memaksa beliau untuk menyelamatkan ideal beliau, keinginan beliau untuk mengawal faktor-faktor yang penting baginya, dengan itu menghasilkan karya seni yang menunjukkan beberapa tempat nostalgik beliau.
Penggunaan kertas sebagai sampan menggambarkan kerapuhan perjalanan manusia, dengan niat tekad manusia selama beberapa ribu tahun untuk melawan arus, mampu melawan dominasi alam untuk jelajah ke alam baru, fizikal dan juga mental. Proses penjelajahan itu tidak hanya dibataskan ke kawasan lautan, tetapi juga di kawasan bandar sepertimana instalasi seni yang diadakan di atas bumbung bangunan. Perjalanan kertas sampan itu memperluaskan batasan definisi jelajah itu sendiri, menjangkaui pandangan dan ruang fizikal.
Bagi hubung kaitannya dengan tajuk pameran tersebut, mengikut kenyataan seniman tersebut:
"Karya seni di dalam pameran ini merupakan hasil tindak balas diantara manusia dan keadaan sekelilingnya. Bagi saya, ia adalah mengenai tema 'hilang dan jumpa'. Manusia senang benar tersasar. Manusia menjumpai tanah baru dengan harapan untuk membina kawasan idealnya, bagaimanapun mereka senang terleka dibawa arus modenisasi, melalui perbandingan dengan kawasan dan tamadun yang mengelilingi mereka. Justeru, ia adalah kawasan tanah yang ideal tidak dapat direalisasikan. Pulau Melayu adalah ideal tanah tersebut."
Melayu oleh Liew Kwai Fei
Seni merupakan proses bagi mengenali diri sendiri. Proses di mana seniman itu mengenal pasti elemen yang berada disekelilingnya, yang secara tidak langsung membentuk pemikiran dan realiti beliau. Sebagai seorang individu ianya merupakan satu proses yang harus dilakukan, agar suatu hari nanti realiti kita sebagai manusia masih berdiri utuh dan bukannya berdiri di atas satu dasar yang dipenuhi dengan ilusi, sentimen dan prejudis yang membahayakan.
Stereotaip ada di mana-mana, dan fungsi stereotaip itu tidak dapat kita nafikan, membentuk realiti kita terhadap orang yang berbeza dari kita. Ianya berfungsi sebagai persepsi dan mekanisme pertahanan kita terhadap apa yang tidak dapat kita pastikan dengan benar.
Karya Liew adalah hasil penerokaan terhadap stereotaip yang ada dikalangan masyarakat kita. Ia merupakan percubaan bagi menukar rasa takut beliau dengan cubitan satira. Ia adalah karya yang melihat persepsi beliau melalui humour. Beliau pada akhirnya mencetuskan perasaan yang beliau pendam selama ini, dan secara tidak langsung menyatakan pandangan beliau melalui stereotaip yang beliau sedar semasa membesar di negaranya sendiri. Melalui simbol-simbol dan hasil fikiran beliau yang kritikal, artis menggabungkan kesemuanya bagi memaparkan sisi absurd di dalam masyarakat kita secara am.
Melalui kenyataan beliau, dinasihatkan bahawa kita tidak harus melihatnya dari pandangan yang serius. Humour adalah kata kunci yang dapat digunakan bagi mengamati karya beliau. Kerana sepintas lalu, karyanya mungkin sahaja dianggap terlalu provokatif, tidak sopan dan begitu membingungkan. Tetapi jika dilihat dengan teliti, terdapat beberapa elemen digunakan bagi melambangkan stereotaip yang ada, tidak hanya dikongsi diantara kelompok minoriti tetapi seluruh rakyat secara am. Nilai humour harus diterapkan dikalangan rakyat negara kita, agar kebenaran yang benar-benar kelam itu mampu diterima dan sedikit sebanyak mampu melihatkan masalah yang melanda masyarakat kita tanpa cenderung ke perasaan yang begitu membahayakan.
Flower in The Pigsty oleh Minstrel Kuik
Persoalan naratif gender harus ditekankan di kalangan rakyat negara kita. Dominasi naratif lelaki yang sentiasa membungkam kebebasan wanita semakin lama semakin dipersoalkan, dimana peranan wanita itu ditentukan oleh realiti lelaki sendiri. Minstrel Kuik berjaya membuka persoalan mengenai imej pahlawan-pahlawan dikuasai oleh golongan wanita. Beliau mengemukakan soalan:
"Jika persoalan gender adalah satu hasil pembinaan sosial, langsung karakter protagonis wanita yang sering digambarkan sebagai tidak bermoral dan diselubungi aura kematian itu akan dibebaskan dari dominasi wacana egosentrik golongan lelaki satu hari nanti. Walaubagaimanapun, kemajuan yang sering digembar-gemburkan merupakan suatu paradox, kerana ianya tidak menggambarkan kemajuan yang sepatutnya."
Melalui karya "Minstrel", beliau menekankan hubung kait diantara kolektif dan individu itu merupakan sesuatu yang begitu kompleks. Sempena tajuk pameran tersebut, subjek yang beliau paparkan adalah simbol yang dapat dikaitkan dengan gender wanita. Anjing betina yang kelihatan begitu letih; gadis bertudung yang mengenakan postur berlatarbelakangkan kereta; sususan kulit kerang yang membentuk baju dalam wanita.
Naratif imaji beliau bukan merupakan sesuatu yang linear, tetapi lebih merupakan jalinan di antara cerita-cerita peribadi dan pengalaman yang luas tentang nilai kewanitaan itu sendiri dengan kesedaran mengenai tempat, kehilangan dan rasa kekitaan.
Terdapat satu karya yang benar-benar menghasilkan perasaan gusar tentang peranan wanita, susunan rambut yang diikat di atas katil, dan kewujudan gambar perempuan bogel sujud di sebelah katil itu. Adakah ianya suatu karya yang menggambarkan stereotaip wanita, dimana peranannya dilihat sebagai sesuatu yang cetek, hanya dibataskan di atas ruang ranjang sendiri? Adakah karya tersebut merupakan percubaan bagi melepaskan perasaan lelah dan geram sebagai golongan wanita?
Seni Sebagai Karya yang Membangkitkan Rasa Empati dan Toleransi
Konteks merupakan sesuatu yang penting bagi kita untuk memahami karya seni. Jika kita jahil dan bongkak, bersiap sedia untuk menelan segala ilusi yang ada bagi memalingkan pandangan kita dari masalah yang sebenar - agar kebenaran yang memaksa kita memikirkan semula persepsi itu menjadi satu proses yang melelahkan - maka segala niat karya seni itu hanya dapat digarapi melalui aspek estetik sahaja. Estetik sahaja tidak dapat dikirakan sebagai hasil seni yang benar-benar utuh, malah ianya membutakan kita dan tidak berjaya menyedarkan kita tentang niat disebalik karya seni itu sendiri.
Maka karya-karya seni ini berjaya digarapi sepenuhnya jika dilihat dari konteks yang ada di negara kita. Percubaan bagi mengasuh nilai-nilai kemanusian melalui proses mengenal pasti nilai-nilai sejagat adalah penting, agar segala prejudis dan ego rasisme berjaya dimusnahkan. Pameran seni 'Pulau Melayu' ini sekali lagi mencetuskan beberapa persoalan penting tentang isu-isu dunia terdekat kita, definisi dan naratif gender, tempat, modenisasi, kerapuhan individu dan kewujudan stereotaip yang berperanan sebagai makanan yang menternakkan ilusi yang kian membutakan kita.
Daily Seni
Thu Sep 04 2014
Pameran Pulau Melayu Lost and Found merupakan pameran seni yang menyentuh soal-soal bangsa dan identiti di Malaysia.
Ahli perniagaan China didakwa pengintip dijemput ke Istana Buckingham oleh Duke
Lelaki itu dilaporkan telah melawat Istana Buckingham sebanyak dua kali atas jemputan Putera Andrew.
Vincente kekal optimis walaupun tewas 0-1 kepada Thailand
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menyatakan rasa bangga terhadap prestasi pemainnya, terutama sekali menentang juara bertahan kejohanan itu.
Mesir, pegawai AS bincang usaha gencatan senjata di Gaza
Presiden Sisi menekankan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tiga ditahan, pelbagai dadah bernilai RM44,200 dirampas
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik.
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Pulau Melayu - Lost and Found: Sebuah pameran seni identiti Malaysia
Pameran Pulau Melayu Lost and Found merupakan pameran seni yang menyentuh soal-soal bangsa dan identiti di Malaysia.