GEORGE TOWN: Pulau Pinang berhasrat untuk menggazetkan pulau buatan manusia yang terletak bersebelahan Jambatan Pulau Pinang pertama paling cepat tahun depan dan membangunkan kawasan itu sebagai Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata kawasan itu adalah kawasan rumput laut terbesar di negara ini, selain merupakan habitat dan tempat makan pelbagai hidupan laut.

"Ini adalah komitmen kami kepada rakyat untuk memelihara warisan dan kami berusaha ke arah membangunkan kawasan perlindungan marin.

"Kemudahan terlibat telah dilaksanakan dan diharapkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow akan membuat pengumumam rasmi mengenai rancangan ini tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Sabtu lepas, Chow dilaporkan telah mengumumkan pelan untuk menggazetkan kawasan berkenaan dan telah menugaskan Phee untuk meneliti beberapa isu termasuk cadangan penggazetan itu.

Terdahulu, Phee mengumumkan bahawa ubat tradisional akan menjadi ciri baharu di bawah PgCare Alliance, iaitu usaha kolaborasi antara kerajaan negeri dengan beberapa organisasi bukan kerajaan, untuk membantu rakyat dari aspek kesihatan mental, pekerjaan, makanan dan tempat perlindungan, serta rundingan kewangan.

Beliau berkata selepas pendaftaran, pengguna akan mempunyai akses kepada konsultasi dengan pakar perubatan tradisional.

-- BERNAMA