KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi membidas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Selain itu, Perdana Menteri turut mempersoalkan sama ada kenyataan Menteri Besar Kedah itu dibuat kerana mahu mengekalkan 'kuasa' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Apakah kerana nak gelojoh kuasa (untuk memenangi) PRN, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara? Ini silapnya. Dan ini menyebabkan timbul permasalahan ini.

"Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada UMNO-Barisan Nasional (BN), Pas dan Pakatan Harapan (PH), serta Pas dan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah dibangkitkan, melainkan seorang ketua (Muhammad Sanusi) yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang," kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang bertanya mengenai tindakan ke atas Muhammad Sanusi susulan gesaannya supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

Isu dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, PM serah kepada Peguam Negara
Dakwa Lim, kenyataan itu memecah-belahkan perpaduan rakyat, khususnya menimbulkan keresahan, dalam kalangan penduduk Pulau Pinang, serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Menjawab lanjut, Anwar berkata, beliau telah menerima beberapa dokuman seperti laporan polis yang mengesahkan bahawa Muhammad Sanusi secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan termasuk menuntut supaya Perlembagaan dipinda bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah.

Jelas beliau, sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara.

Pulau Pinang milik Kedah: Pendang tak tengok TikTok - YB Hulu Langat

"Sebagai seorang yang ada kedudukan, kenyataan (Muhammad Sanusi) tak bertanggungjawab dan pihak polis telah melakukan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan yang sesuai bagi menghindari daripada penerusan kenyataan-kenyataan yang melanggar prinsip Perlembagaan dan undang-undang, termasuk di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

"Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu tindakan Peguam Negara," ujarnya lagi