Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan RM1.5 juta untuk membantu negeri-negeri yang dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dalam satu kenyataan berkata, wang itu telah dipindahkan ke Akaun Amanah atas arahan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Saya telah diberi kuasa untuk mengeluarkan RM500,000 bagi setiap transaksi untuk membeli kelengkapan seperti susu tepung, tuala wanita dan air. Dokumen akan dibentangkan pada mesyuarat EXCO akan datang.

"Ini juga dengan persetujuan ahli-ahli EXCO," katanya.

Satu pasukan bantuan bencana juga akan digerakkan ke Kelantan pada Isnin.

"Terdapat satu kumpulan terdiri daripada 18 pegawai kebajikan dan sukarelawan sosial yang akan dihantar ke Kelantan pada hari Isnin.

"Mereka mempunyai pengalaman berkhidmat di pusat pemindahan semasa banjir di Pahang," kata Phee.

ADUN Sungai Puyu itu juga berkata kerajaan negeri itu sedang mengatur logistik dan pengangkutan kerana banyak tempat tidak boleh diakses disebabkan paras air yang semakin meningkat.