GEORGE TOWN: Pulau Pinang menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan perindustriannya, kata Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.

Beliau berkata bahawa strategi pelbagai serampang perlu dimulakan segera melibatkan semua pihak berkepentingan seperti penggiat industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan untuk menangani isu kumpulan bakat tersebut.

"Sistem pendidikan yang dipacu teknologi bermula dari peringkat rendah perlu dilaksanakan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lee berkata menarik bakat antarabangsa dengan set kemahiran tertentu seperti kejuruteraan perisian dan melaksanakan dasar yang lebih holistik untuk mengekalkan bakat kejuruteraan adalah penting untuk mewujudkan kumpulan bakat yang sihat dan mampan.

"Untuk menarik lebih ramai pekerja berpengetahuan ke negeri ini, Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang untuk menarik pekerja berpengetahuan dari negeri lain," katanya.

Selain itu, beliau berkata keupayaan Pulau Pinang untuk menyediakan persekitaran kerja, kehidupan dan beriadah yang kondusif untuk bakat luar bandar akan menjadi kunci kepada kejayaan inisiatif ini.

Sementara itu, Lee berkata bahawa Asia telah muncul sebagai pasaran yang paling pesat berkembang untuk industri teknologi perubatan (MedTech), mendorong pemain industri peringkat satu menubuhkan kilang pembuatan di rantau ini.

Kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun sebanyak 6.8 peratus, pasaran Asia dijangka mencecah AS$147 bilion (AS$1=RM4.39) pada 2027, katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai jumlah syarikat MedTech tertinggi di Asia Tenggara dan negeri itu berbangga menjadi rumah kepada enam daripada 30 syarikat peranti perubatan terbaik global (mengikut jualan).

Seiring dengan perubahan model perniagaan global, Lee berkata bahawa negeri itu turut menyaksikan lonjakan dalam bilangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

"Kami melihat lebih banyak pusat reka bentuk dan pembangunan ditubuhkan di Pulau Pinang untuk memanfaatkan bakat tempatan," tambahnya.

Lee berkata Pulau Pinang terkenal dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di peringkat nasiona;

-- BERNAMA