GEORGE TOWN: Pulau Pinang menambah 12 klinik swasta dan empat pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 dengan lebih cepat.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata sehingga Isnin, 186,669 orang di Pulau Pinang menerima suntikan tersebut dan menjadi negeri keenam paling ramai disuntik dos penggalak.

"Sebelum ini terdapat 86 klinik swasta, lapan hospital swasta dan tiga PPV yang menawarkan suntikan dos penggalak di Pulau Pinang, namun sejak minggu lepas 12 klinik swasta serta empat lagi PPV ditambah bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan suntikan.

"Setiap PPV itu mampu menawarkan suntikan vaksin kepada 1,000 hingga 1,500 individu dan saya harap orang ramai mendapatkan dos penggalak malah setiap pusat vaksinasi dilengkapi dengan 20 peratus vaksin Sinovac dan 80 peratus Pfizer," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya pemberian dos penggalak amat perlu bagi memberi perlindungan tambahan berikutan penularan beberapa varian COVID-19 yang membimbangkan kerana ia cepat merebak dan dengan adanya vaksin tersebut tahap jangkitannya rendah serta terkawal.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai mendapatkan dos penggalak terutama golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas.

-- BERNAMA