Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak mentah-mentah idea Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk meluaskan pentadbiran Wilayah Persekutuan ke negeri itu.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata cadangan itu tidak selaras dengan perlembagaan serta tidak munasabah.

Kenyataan Tengku Adnan itu katanya juga dianggap satu kejutan kerana tiada sebarang rundingan dibuat untuk menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian negeri Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.

“Kami tidak gembira langsung dan kami tidak mahu menyerahkan satu negeri untuk menjadi negeri Persekutuan tanpa rundingan dan tidak ini tidak boleh diterima.

“Saya hendak nyatakan yang saya tidak mahu jadi Ketua Menteri yang terakhir, itulah akibatnya kalau kita rela serahkan Pulau Pinang menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, beliau yakin Kerajaan Negeri Melaka dan, Kedah juga tidak akan bersetuju dengan idea tersebut.

Katanya, idea itu juga boleh dianggap satu hasutan kerana ianya mengancam integriti dan perpaduan negeri.

“Saya rasa ini satu tipu helah dan bercanggah dengan Wilayah Persekutuan, kalau tidak silap tanpa sebarang rundingan. Itu yang mengancam, perpaduan dan persekutuan Malaysia dan dianggap sebagai hasutan, saya tidak boleh ‘jual’ Pulau Pinang,” katanya lagi.

Idea bagi menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka sebagai Wilayah Persekutuan dibuat Tengku Adnan dalam temubual sempena sambutan Hari Wilayah dengan sebuah stesen radio berbahasa Inggeris pada Rabu.