Punyalah baran sampai sanggup ugut bunuh ibu gara-gara disuruh tutup televisyen

Sinar Harian
September 8, 2019 10:40 MYT
Kata Noorzainy siasatan awal mendapati suspek merupakan penagih dadah yang sering mengamuk sesuka hati selain merupakan seorang yang panas baran. - Gambar fail
Seorang lelaki sanggup mengacu pisau dan mengugut mahu membunuh kedua ibu bapanya hanya disebabkan mereka menutup siaran televisyen dan masuk ke dalam bilik dalam kejadian di sebuah rumah di Pokok Sena di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 43 tahun itu turut merosakkan perabot dan barangan elektrik di rumahnya selain mengugut mahu membakar rumahnya kerana tidak berpuas hati dengan kedua ibu bapa kandungnya sendiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan penagih dadah yang sering mengamuk sesuka hati selain merupakan seorang yang panas baran.
Menurutnya, sebelum kejadian suspek dikatakan berleter ketika sedang menonton televisyen menyebabkan ayah dan ibunya yang berusia 70 tahun bertindak menutup televisyen dan masuk ke dalam bilik tidur.
"Suspek yang berang bertindak agresif dan mengugut hendak membakar rumah sambil mengacu pisau mengugut mahu membunuh ayah dan ibunya sendiri.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah televisyen dan sebuah kipas angin yang telah dirosakkan oleh suspek di ruang tamu," katanya ketika dihubungi di sini.
Noorzainy berkata, selepas menerima laporan daripada ayahnya, polis bertindak memberkas suspek dan ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine
Katanya, semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
Tambahnya, suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
#acu pisau #berleter #bunuh #disuruh tutup televisyen #jenayah #Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara #Noorzainy Mohd Noor #penagih dadah #pokok sena #Seberang Perai #ugut bunuh