KUCHING: Pusat Hiburan Keluarga atau pusat karaoke berbilik di pusat beli-belah di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini, dengan pengoperasiannya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata SOP itu boleh dirujuk di laman web JPBN di http://sarawakdisastermc.com.

Sarawak hari ini merekodkan 646 kes positif COVID-19 baharu dengan 12 kes mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala baki 634 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan, menjadikan kumulatif kes positif di Sarawak kini 240,430.

"Antara kawasan yang mencatatkan kes tertinggi adalah Kuching dengan 166 kes diikuti Miri (115), Lawas (63), Sibu (62) dan Bintulu (31)," menurut JPBN.

Selain itu 10 kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak dari 25 Okt hingga semalam manakala jumlah kluster yang aktif sebanyak 29.

Jawatankuasa itu turut mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di negeri ini yang melibatkan kawasan di Pakan, Sarikei dan Kabong.

"PKPD di Rumah (Rh) Suing, Teberu Ulu Kemalih Entabai, Pakan bermula hari ini hingga 5 Nov; Rh Jen, Sg Paku Bayong, Sarikei bermula esok hingga 6 Nov dan Rh Anta anak Buma, Jelupang Atas, Roban, Kabong bermula esok hingga 10 Nov," menurut JPBN.

-- BERNAMA