Pusat Permata Kurnia tempat intervensi kanak-kanak autisme - Najib

Wan Syamsul Amly
Mac 31, 2016 12:49 MYT
Najib sempat bermesra dengan kanak-kanak di Pusat Permata Kurnia di jalan Sentul pada Khamis. - Foto Bernama
Pusat Permata Kurnia yang pertama di negara ini menjadi tempat intervensi awal yang komprehensif untuk memenuhi keperluan kanak-kanak penghidap autisme dan keluarga mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bertujuan mengajar mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan bergaul sejak awal.
"Kita hendak melalui pusat ini mereka dapat pendidikan awal, mereka dapat intervensi awal, kalau kita hendak buat pembetulan, hendak kukuhkan kelemahan mereka.
"Maka lebih awal kita mula, lebih besar peluang kita jadikannya seoarng insan seperti kanak-kanak lain," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Pusat Permata Kurnia di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Pusat seluas 1.04 hektar di Jalan Sentul itu dibina dengan kos RM26 juta, bakal menempatkan sehingga 300 kanak-kanak autisme yang berumur dari empat hingga tujuh tahun.

DS @NajibRazak menyampaikan ucapan sekali gus merasmikan Pusat Permata Kurnia utk anak autisme di Sentul @501Awani pic.twitter.com/SAr553Cl0Q

— wan syamsul amly (@wansyamsulamly) March 31, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

DS @NajibRazak merasmikan Pusat Permata Kurnia di Sentul @501Awani pic.twitter.com/14eJF8twg1

— wan syamsul amly (@wansyamsulamly) March 31, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu kata Najib, pusat itu bukan sahaja bakal menjadi tempat pembelajaran serta latihan awal bagi kanak-kanak autisme, malah berperanan sebagai pusat kecemerlangan golongan tersebut.
"Ini sekali gus membuktikan keprihatinan serta komitmen kerajaan dalam memberikan pendidikan terbaik dan bersifat inklusif melalui kurikulum yang sesuai kepada kanak-kanak autisme kerana mereka juga merupakan aset berharga untuk negara," jelasnya.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan ini menawarkan tiga jenis perkhidmatan termasuk Intervensi Sepenuh Masa untuk 100 hingga 150 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Perkhidmatan lain ialah Intervensi Sokongan dan Keluarga iaitu program berpakej untuk mereka berusia di bawah empat tahun dan ibu bapa atau penjaga mereka yang berminat untuk mempelajari teknik intervensi yang boleh diaplikasikan di rumah, serta Program Latihan untuk menyediakan keperluan latihan kepada pendidik, ahli terapi, ibu bapa dan orang ramai dalam pelbagai aspek autisme.
Pemilihan pelajar dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan Child Development Centre Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Autisme adalah sejenis kecacatan perkembangan fungsi otak yang menyebabkan kecelaruan dan akan menimbulkan masalah perhubungan sosial, berkomunikasi dan hidup seolah-olah dalam dunia mereka sendiri, dan majoriti daripada mereka tidak mampu berdikari dan perlu bergantung kepada keluarga.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini mendapati kadar prevalens autisme adalah satu kes bagi 600 kelahiran di negara ini.
#Autisme #najib #Pusat Permata Kurnia