KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan salah laku dan kepincangan yang berlaku dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali menjelaskan jawatankuasa bebas ini perlu diberi hak untuk menyelongkar segala maklumat dengan semua pihak dan diberi masa tiga bulan untuk menyediakan laporan siasatan.

"Laporan ini kemudiannya akan dibentangkan di Parlimen. Jika tiada apa salah laku, maka nama baik Ketua Pengarah SPRM (Tan Sri Azam Baki) dapat dibersihkan tanpa apa-apa lagi persepsi buruk.

"Maka tidak perlulah bersusah-payah mahu mengadakan sidang media jika sekadar untuk 'berkokok tetapi ayam tidak bertelur'. 

"Rakyat mahu laporan bebas dan berintegriti bukannya sekadar sidang media yang  turut dihadiri oleh Ketua Pengarah SPRM sendiri," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.


SPRM | LPPR puas hati penjelasan Azam Baki

Ibrahim mencadangkan agar jawatankuasa bebas itu dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, Peguam Negara, selain wakil Majlis Peguam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan individu lain yang berintegriti.

"Malah saya sendiri bersedia turut serta dalam jawatankuasa bebas tersebut bagi menyiasat Ketua Pengarah SPRM secara sukarela dan tanpa apa-apa bayaran elaun," katanya lagi.

Ibrahim turut mempertikai sidang media yang diadakan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, hari ini yang turut disertai oleh Azam.

"Tujuannya (sidang media) sudah terang lagi bersuluh. Ia untuk memberi penjelasan dan membersihkan Azam Baki yang kini dipersoal ketelusan dan integritinya.

"Sudah tentu sidang media yang dihadiri bersama Ketua Pengarah SPRM hari ini jawapannya sudah diketahui umum iaitu bersih, tidak ada salah laku dan semuanya fitnah untuk memburukkan Azam Baki," katanya.


SPRM | Azam Baki nafi miliki saham dengan jumlah melampau

Pada Rabu, Abu Zahar memaklumkan LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Abu Zahar berkata, mesyuarat yang diadakan bersama Azam pada 24 November lalu mendapati beliau tidak ada sebarang kaitan dengan dakwaan itu.