Kerjasama yang diberikan Malaysia dalam membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura semalam amat dihargai pihak Indonesia.

Kenyataan itu disampaikan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno ketika diwawancara Buletin AWANI jam 12 tengah hari tadi.

“Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo telah berbicara melalui telefon kira-kira pada jam 7 malam. Begitu juga dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatannya di Indonesia, Ryamizard Ryacudu.

“Saya juga ada menerima kenyataan daripada Menteri Pengangkutan, Datyuk Seri Liow Tiong Lai yang mahu memberikan kerjasama penuh kepada Indonesia,” ujar Herman yang merujuk kepada penghantaran tiga buah kapal iaitu KD Lekiu, KD Lekir dan KD Pahang berserta pesawat ke lokasi pencarian.

Menurut Herman, kesemua aset Malaysia itu akan dihubungkan kepada Badan SAR Nasional (Bansarnas) Indonesia dalam misi pencarian pesawat tersebut.

Bercakap tentang pengukuhan hubungan dua hala antara dua negara dalam insiden ini, Herman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan yang diberikan dan percaya bahawa kerjasama sesama bangsa ASEAN ini mampu diwujudkan.

Herman juga mengharapkan doa restu dari Malaysia dalam usaha menemukan pesawat QZ8501.
“Hal utama adalah untuk menemukan terlebih dahulu pesawat itu.

“Sokongan moral sangat penting dari Malaysia kerana Malaysia pernah merasakan betapa beratnya (ujian dan perasaan) yang ditanggung ahli keluarga mangsa (dalam kes nahas seumpamanya).