Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501 yang masuk hari kelima pada Khamis disifatkan sukar dan terjejas kerana keadaan cuaca dan laut yang kurang baik.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui Twitternya memberitahu, jarak penglihatan terlalu terhad sehingga hanya pada lima batu nautika.




Terdahulu, Abdul Aziz memaklumkan kawasan pencarian yang ditetapkan untuk KD Pahang adalah di sektor 2 sementara KD Lekir dan Lekiu adalah di sektor 4.




Abdul Aziz juga memaklumkan sebuah helikopter turut disediakan KD Lekiu untuk misi menyelamat mangsa di kawasan yang sudah ditetapkan.




Katanya, kawasan pencarian juga diperluaskan kepada 13,500 batu nautika pada Khamis berbanding 6,160 batu nautika pada hari sebelumnya.




Melalui Twitternya, Abdul Aziz turut menunjukkan gambar laut yang kurang baik dari KD Lekiu sekali gus menjejaskan kelancaran operasi pencarian pada hari ini.




Sektor utara dibahagi kepada dua bahagian iaitu sektor yang dipantau TLDM.

Sektor yang terdekat dengan Pontianak, Kalimantan pula dipantau Tentera Laut Republik Singapura.

Lima sektor lain adalah yang dipantau Tentera Nasional Indonesia (TNI) iaitu Sektor Unsur TNI1, TNI2 dan Patkamla (Patrol Keamanan Laut) PTK selain Sektor Unsur Bakamla (Badan Keamanan Laut) dan Lanal Babel (Bangka Belitung) dan Sektor Unsur Basarnas/DA & BC.