KUCHING: Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah memberi suntikan vaksin kepada kira-kira 70 peratus anjing di dalam kawasan penugasan mereka sebagai usaha membendung penularan wabak rabies, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, pasukan berkenaan yang ditugaskan untuk memberi suntikan vaksin di sepanjang kawasan sempadan Sarawak juga akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Uggah turut menasihatkan orang ramai digigit anjing atau kucing supaya segera mendapatkan rawatan.

"Anda tidak perlu menilai tahap keseriusan gigitan atau cakaran, terus sahaja ke hospital. Rawatan untuk rabies di hospital awam adalah percuma.

"Apa yang kita perhatikan, sesetengah pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas di peringkat lanjutan dan sudah terlambat," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bangunan baharu Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini pada Jumaat.

IBET yang diselia oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Pejabat Premier Sarawak memiliki 108 anggota yang ditugaskan mengawal dan mengawasi 978 kampung, ladang dan pos kawalan di seluruh Sarawak serta kawasan sempadannya.

Pasukan itu turut dibekalkan dengan kenderaan dan kelengkapan canggih bagi membolehkan mereka menjalankan tugas di lokasi pedalaman yang terpencil.

-- BERNAMA