Umat Islam perlu memanfaatkan bulan Ramadan untuk memupuk semangat penyatuan dalam kalangan umatnya dalam satu agenda ibadah yang murni, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam perutusan Ramadannya berkata selain itu, bulan Ramadan juga adalah bagi umat Islam memperteguhkan hubungan dengan Allah swt, serta hubungan silaturrahim dengan anggota keluarga dan masyarakat.

"Alhamdulillah, kita mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah swt, dengan ihsanNya dapat kita bertemu lagi dengan Ramadan al-Mubarak yang penuh kemuliaan ini.

"Sesungguhnya, kehadiran Ramadan 1435 Hijrah ini sentiasa kita nanti-nantikan. Inilah masanya, kita mengambil peluang yang sangat bernilai untuk menghayati kemanisan beribadah mengabdikan diri kepada Allah swt," katanya dalam perutusan yang dimuat naik di laman blognya www.1malaysia.com.my.

Perdana menteri berkata komitmen kesatuan itu juga perlu dikekalkan dengan penuh kepasrahan kepada Allah swt dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam moden yang progresif serta berstatus negara maju.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa dan agama agar menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai penyatu dan pemandu keharmonian, sebagaimana 'Sahifah Madinah' menjadi pengikat dan penyatu kepada warga majmuk Kota Madinah dahulu.

"Ramadan adalah bulan kesabaran dan ketenangan. Bulan yang dipenuhi keberkatan dan keampunan daripada Allah swt. Semoga rahmat Ramadan yang hadir ini menjadi pemangkin perpaduan dan kemakmuran bagi meneruskan misi transformasi negara," katanya.

Sempena bulan Ramadan ini, Najib mengajak umat Islam di Malaysia untuk menghiasinya dengan ibadah puasa, tilawah Al-Quran, berzakat, beriktikaf dan solat tarawih, selain tidak lupa untuk saling mendoakan kesihatan satu sama lain.

"Semoga Ramadan tetap menjadi bulan untuk kita mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa mendatang. Diakhiri perutusan ini dengan harapan, semoga Ramadan kali ini akan memperkukuh kesatuan hati sesama kita dalam meninggikan kalimah Allah di bumi tercinta ini.

"Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa," kata Najib.