Kenyataan keras dua bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim terhadap pentadbiran kerajaan masa kini hanya kerana mereka berdua menyimpan sifat dendam kerana tidak dicalonkan semula, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Bagaimanapun, katanya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau memahami apa yang dua bekas menteri itu rasakan kerana bukan mudah menjawat jawatan sebagai ahli kabinet selama lebih sepuluh tahun, tiba-tiba khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

“Biarlah mereka nak kata apa pun kerana pilihan raya semakin dekat, dan mereka ini orang yang kecewa. Jika awak sudah jadi menteri lebih daripada sepuluh tahun, dan tiba-tiba anda tidak dicalonkan semula, dendam itu terbawa-bawa walaupun tidak tercalon pada pilihan raya yang lepas.

“Memang jelas, mereka menyimpan dendam kepada kepimpinan masa kini, jadi biarlah dia meroyan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) antara Seni Teknologi Sdn Bhd dan KDU University College Sdn Bhd di sini hari ini.

Rais dan Rafidah, dikatakan banyak menggunakan media sosial untuk mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rafidah dikatakan memuat naik catatan mengenai kegagalan pihak berkuasa Malaysia mengesan kapal layar mewah yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB sedangkan beliau sendiri mampu mengesannya ketika bercuti tahun lepas.

Rais pula, yang kini memegang jawatan sebagai penasihat sosio kebudayaan kepada kerajaan, membidas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kerana begitu cepat menafikan kapal layar itu milik Jho Low.