Majlis Raja-raja Melayu dijadualkan akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat esok.

Perkara ini disahkan kepada Astro AWANI oleh sumber dalaman Istana Selangor.

Difahamkan, antara inti pati mesyuarat esok ialah berhubung situasi politik terkini di negara ini, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan Raja-raja Melayu terutama sekali Yang di-Pertuan Agong, antaranya termasuk meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

BACA: Tun M tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong


BACA: Status quo kekal di Melaka, sidang Dun ditangguh - Ketua Menteri

BACA: Pentadbiran kerajaan negeri Kedah kekal - Mukhriz

Politik semasa dilihat berada dalam keadaan kemelut susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH.

Pada Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Bersatu dan beberapa jam kemudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantiknya sebagai Perdana Menteri interim.

Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah menemu bual kesemua Ahli Parlimen secara individu susulan kemelut politik negara.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.