KUALA LUMPUR: Semua pihak tanpa mengira agama dan kaum perlu bangkit menolak budaya rasuah yang semakin berleluasa mutakhir ini.

Menurut Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub, jika budaya memberi dan menerima rasuah tidak segera dihapuskan, kesannya akan sangat dirasai oleh rakyat.

Jelas beliau, rakyat perlu dengan tegas dan jelas menolak mana-mana pemimpin yang terlibat dengan rasuah biarpun mempunyai idea-idea yang menarik.

"Pada saya idea itu betul bagus tetapi idea yang bagus kena datang dengan roh, kalau tidak iklhas macam mana nak kata ianya bagus.

"Kalau seseorang pemimpin betul-betul bagus, dia tidak akan biar negara jadi macam ini, jadi mereka ini kena turun secara terhormat.

"Beri peluang kepada yang muda, negara ini umpama kebun, pengurus lama perlu bagi peluang kepada pengurus kebun baharu sebab pokok-pokok kita sudah rosak," katanya.

Mengulas agenda membasmi rasuah dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangi oleh kerajaan dan Pakatan Harapan, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menjelaskan memperkasakan institusi parlimen amat penting dalam usaha melawan rasuah.

"Untuk kita melawan rasuah kita kena perkasakan institusi parlimen itu sebab itu dalam MoU itu ada tiga teras utama yang perlu dilaksanakan.

"Dan teras ketiga untuk memastikan kita perkukuhkan jawatankuasa pilihan khas parlimen dan pastikan jawatankuasa mempunyai lebih kuasa dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

Beliau juga menjelaskan menerusi MoU antara kerajaan dan PH, usaha membeli ahli parlimen akan dapat diatasi dengan persetujuan untuk melakanakan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Bagi Pengarah Urusan Kumpulan Dnex, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, amalan rasuah yang berleluasa memberi kesan yang besar kepada sektor ekonomi.

Jelas beliau, pelabur asing tidak akan membawa pelaburan mereka ke negara yang mempunyai indeks rasuah yang tinggi dan ini akan merugikan sesebuah negara.

"Kita sudah lihat apabila orang (pelabur) keluar dari Malaysia, sesuatu tempat atau bandar yang sebelum ini jadi tumpuan apabila orang keluar 'spending power' berkurang.

"Mana-mana pelabur akan lihat indeks rasuah, jangan ambik rendah indekS rasuah ini kalau kita mahu pelabur datang ke negara kita.

"Jadi untuk memastikan indeks rasuah bagus, kerajaan kena tugas, penjawat awam dan pihak swasta kena mainkan peranan dan rakyat juga kena tugas, kena belajar berkata tidak kepada rasuah," katanya.

Beliau menegaskan jika sekali terlibat dalam rasuah, imej penerima rasuah itu akan terus melekat pada individu yang melakukan perkara tersebut.

Ketiga-tiga tokoh tersebut berkata demikan dalam satu forum Kompas Kebangkitan #MalaysiaTanpaRasuah sempena sambutan hari Malaysia anjuran #RasuahBusters, malam tadi.