Rakyat dari UK, AS, India, Indonesia antara 23 negara dilarang masuk Malaysia mulai hari ini

Firdaus Azil
September 7, 2020 05:18 MYT
Selain empat negara berkenaan, turut tersenarai ialah Sepanyol, Perancis, Brazil, Argentina, Turki, Chile, Itali, Rusia, Iran, Jerman, Peru dan Iraq. - Gambar fail
Indonesia, India, United Kingdom dan Amerika Syarikat merupakan sebahagian daripada 23 negara yang diletakkan dalam senarai Sekatan Kemasukan Ke Malaysia kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang, yang berkuat kuasa hari ini.
Dalam Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), turut dinyatakan bahawa sekatan itu dilaksanakan ekoran jumlah kes kumulatif positif COVID-19 yang melepasi angka 150,000 kes.
Selain empat negara berkenaan, turut tersenarai ialah Sepanyol, Perancis, Brazil, Argentina, Turki, Chile, Itali, Rusia, Iran, Jerman, Peru dan Iraq.
Sumber Facebook imigresen
Turut dihalang kemasukan warganegara mereka ke Malaysia ialah negara Colombia, Bangladesh, Filipina, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mexico, dan Pakistan.
Pada 3 September lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan untuk tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan kes positif melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera itu berkata lanjut, ada beberapa kes yang diberi pelepasan jika ia membabitkan kecemasan, ataupun urusan berkaitan hubungan hala dua negara, dengan syarat telah mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.
Ismail Sabri berkata, Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.
#COVID-19 #Imigresen #ismail sabri yaakob #jabatan imigresen #kes positif #koronavirus #Malaysia #sekatan kemasukan