A. Dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO berkenaan dengan ASAS & TUJUAN mengapa parti ini dibentuk, menyatakan dengan jelas bahawa parti UMNO ditubuh dan dibentuk demi mempertahankan kedaulatan, keabsahan dan kesejahteraan watan Malaysia untuk kelangsungan hidup setiap warganya sama ada tanpa mengira latar bangsa, agama dan budaya;

B. Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa asas dan tujuan parti adalah “mendukung asas-asas perlembagaan persekutuan [baca Malaysia] selagi mana ia membela kepentingan Raja-Raja Melayu, Bangsa Melayu, Bumiputera, Orang Asli, Anak Negeri Sabah serta lain-lain perkara seperti mana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Kontrak Sosial, dan
Undang-Undang Tubuh Negeri Malaysia”;

C. Demikian juga Fasal 3.4 & 3.5, perlembagaan UMNO turut menzahirkan dengan sempurna bahawa mempertahan dan membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar kaum dan agama, serta memastikan keadilan sosial yang berpaksikan kepada amalan demokrasi untuk bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah & Orang Asli terjamin setiap masa dan ketika;


D. Berdasarkan kepada fasal 3 perlembagaan yang dinyatakan diatas jelas menunjukan bahawa matlamat unggul pembentukan dan penubuhan UMNO itu adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keberadaan setiap entiti yang bergelar WARGA MALAYSIA, samada ianya Raja, Melayu, Orang Asli, Bumiputera,
Anak Negeri Sabah dan juga bangsa bukan-Melayu atau bukanBumiputera;

E. Ini bermakna, apa yang tersirat daripada ASAS & TUJUAN mengapa UMNO itu ditubuhkan adalah untuk memayungi setiap keberadaan WARGA MALAYSIA bagi beroleh kehidupan yang baik, aman dan sejahtera bersandarkan kepada nilai-nilai murni demokrasi;

F. Dalam erti kata lain, melalui fasal 3 perlembagaan UMNO diikuti dengan perincian pecahan-pecahan fasal tersebut, memanifestasikan kepada kita dan rakyat bahawa falsafah perjuangan UMNO adalah RAKYAT DILINDUNG, RAJA DIJUNJUNG & NEGARA DISANJUNG;

G. Ketiga-tiga elemen tersebut (Rakyat, Raja & Negara) adalah perkara POKOK yang menjadi KEUTAMAAN setiap peringkat kepimpinan UMNO dalam mana menjalankan amanah, tanggungjawab & perjuangan parti; PENDIRIAN 31 AHLI PARLIMEN: TIDAK SETIA KAH MEREKA?

H. Apabila Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi pada 3.8.2021, menyatakan pendirian bahawa mulai tarikh tersebut, MKT telah mengambil keputusan dan ketetapan bahawa UMNO telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, ianya telah mengundang suasana politik yang tidak harmonis dalam kalangan ahli, kepimpinan parti & kestabilan politik negara amnya;

I. Serentak dengan itu, Presiden melalui Setiausaha Agong Parti telah mengeluarkan arahan agar semua ahli UMNO yang memegang sebarang bentuk jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional agar serta-merta meletakkan jawatan. Gagal berbuat demikian, ianya dilihat sebagai satu bentuk pelanggaran disiplin, tidak setia kepada arahan parti dan boleh dikenakan tindakan tatatertib parti hatta dipecat keahlian daripada parti;

J. Arahan tersebut telah menimbulkan situasi yang boleh disifatkan umpama “diluah mati bapa, ditelan mati emak”, dalam kalangan ahli UMNO yang memegang jawatan didalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).  Mereka yang gagal memahami falsafah perjuangan parti UMNO dan tidak mampu menyerap desakan parti telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan;

K. Pada 6.8.2021, YAB Datuk Seri Ismail Sabri dan 21 orang lagi ahli Parlimen UMNO beserta dengan kepimpinan komponen Barisan Nasional (BN), melalui satu sidang akhbar telah membuat pendirian bahawa mereka kekal mendukung dan menyokong kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyidddin Yassin;

L. Mereka menyatakan bahawa tindakan yang mereka lakukan ini adalah tidak bersalahan atau melanggar mana-mana arahan ataupun juga fasal-fasal tertentu didalam perlembagaan parti masing-masing, pendirian & ketetapan mereka turut disokong kuat oleh 10 orang ahli Parlimen lain [UMNO] (tidak hadir sewaktu
sidang akhbar atas urusan rasmi lain);

M. Malah mereka [KESEMUA 31 ORANG AHLI PARLIMEN UMNO & BN] didalam sidang akhbar tersebut menyatakan dengan jelas bahawa tindakan dan pendirian yang mereka lakukan ini adalah bukan kerana kepentingan individu tetapi demi kepentingan rakyat dan negara dalam suasana negara yang sedang dilanda krisis pada masa kini;

N. Justru, bagi memberikan keadilan kepada kedua belah pihak (Parti & Ahli Parlimen), adalah molek untuk kita melihat apakah tindaktanduk serta pendirian ahli Parlimen UMNO yang kekal untuk mendukung kerajaan PN bertentangan dengan dengan perlembagaan UMNO atau sebaliknya;

O. Datuk Seri Ismail Sabri & kawan-kawan yang kekal mendukung kerajaan PN, menyatakan bahawa tindakan mereka tersebut adalah demi kepentingan rakyat & negara. Secara jelas pendirian 31 orang ahli Parlimen tersebut tidak langsung bertentangan dengan fasal-fasal 3 perlembagaan parti UMNO seperti mana yang dinyatakan di atas;

P. Disebut sekali lagi bahawa Fasal 3.4 & 3.5, perlembagaan UMNO turut menzahirkan dengan sempurna bahawa mempertahan dan membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar kaum dan agama, serta memastikan keadilan sosial yang berpaksikan kepada amalan demokrasi;

Q. Demikian juga Fasal 3.3 yang menyatakan tentang pembelaan kepada nasib bangsa Melayu dan melindungi kepentingan Raja-Raja Melayu serta lain-lain yang terkait dengannya. Apakah tindakan-tindakan yang jelas sejajar dengan perlembagaan parti boleh dikategorikan sebagai tidak taat-setia kepada arahan parti atau bersifat melanggar arahan parti?

R. Jelas bahawa isu tidak setia kepada parti langsung tidak timbul disini, malah pendirian yang diambil oleh mereka patut dipuji kerana secara tidak langsung menjunjung falsafah, asas dan tujuan penubuhan parti UMNO itu sendiri;

S. Dalam keadaan negara sedang bergelut untuk memerangi musibah pandemik virus COVID-19 yang telah memberi kesan yang amat perit kepada setiap sektor kehidupan masyarakat negara ini, maka adalah sangat bertepatan pendirian 31 orang ahli Parlimen untuk kekal mendokong dan berdiri teguh menyokong kerajaan PN;

T. Pendirian tersebut juga sejajar dengan Fasal 3.4 Perlembagaan UMNO yang menyebut: “membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum”. Negara dan rakyat negara ini sedang berhadapan dengan krisis yang amat memerlukan sokongan dan dokongan daripada pemimpin, maka amatlah tepat dan sewajarnya mereka mengambil pendirian tersebut;

U. Malah pada hemat saya selaku pemimpin dari strata rakyat di peringkat Bahagian UMNO, sepatutnya seluruh jajaran kepimpinan UMNO mengambil pendirian dan ketetapan seperti mana yang ditunjukkan oleh 31 orang ahli Parlimen tersebut;

V. Ini kerana ketetapan dan pendirian mereka [31 orang ahli Parlimen], adalah secara jelas, terang & bersuluh sangat sinonim dengan asas dan tujuan penubuhan UMNO. Semangat pembentukan UMNO adalah untuk membela rakyat, agama dan tanah air;

W.Dalam masa yang sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-ipertuan Agong telah memberi perkenan kepada cadangan YAB Perdana Menteri untuk kekal mentadbir dan pada bulan September 2021, Parlimen akan dibuka semula bagi antara lain membentangkan usul “percaya kepada Perdana Menteri &
Kerajaan PN”;

X. UMNO semenjak dahulu sangat menjunjung TITAH DIRAJA, titah DiRAJA adalah janggal bagi UMNO untuk diderhaka atau dilanggar. Atas semangat perlembagaan UMNO (ASAS & TUJUAN PENUBUHAN), serta menjunjung TITAH TUANKU SULTAN, saya menyeru agar semua jajaran UMNO mendukung
prinsip yang kita ikrarkan.

Y. Pada masa sukar ini amatlah molek dan sangat BIJAKSANA, sekiranya UMNO kekal mendukung bersama-sama dengan kerajaan PN, mengembeleng buah fikiran dan tenaga bagi samasama membela rakyat, Raja dan negara keluar dari krisis dan musibah yang maha mencabar ini selaras dengan matlamat tersirat dan tersurat perjuangan UMNO itu sendiri iaitu demi AGAMA, BANGSA & TANAH AIR.

“BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT”


Datuk Zakaria Dullah
Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam