Pelbagai peringkat rakyat berharap sambutan ambang tahun baharu 2014 Selasa ini berlangsung secara aman tanpa perhimpunan haram atau sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Rata-rata mereka berharap perhimpunan haram mengguling kerajaan sebagai membantah peningkatan kos sara hidup, yang khabarnya akan berlaku pada ambang tahun baharu, dibatalkan penganjur terbabit kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah tidak langsung mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak.

Mereka melihat sebarang gangguan dalam bentuk perhimpunan haram bukan sahaja boleh menjejas perancangan sambutan ambang tahun baharu malah mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, suatu perkara yang amat dihargai serta dipelihara oleh rakyat Malaysia selama ini.

Mereka juga berpendapat perkara itu boleh menjejas imej negara di mata dunia dan pelancong asing yang akan turut meraikan sambutan ambang tahun baharu, lebih-lebih lagi ia menandakan permulaan Tahun Melawat Malaysia 2014, yang menyasar ketibaan 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM76 bilion, satu hasil yang amat penting kepada negara dalam keadaan ekonomi dunia yang belum stabil sepenuhnya.

Memandangkan begitu banyak perkara dan aktiviti positif menanti ketibaan 2014, rakyat pelbagai peringkat membantah dan menentang sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengganggu kehidupan harian mereka seperti menikmati kemeriahan sambutan tahun baharu, yang berbaki dua hari lagi.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Jais Abdul Karim berkata sambutan tahun baharu perlu dirai secara positif dan dengan hati yang terbuka meskipun berdepan pelbagai cabaran.

"Melalui himpunan ini, ia lebih menimbulkan masalah dan kemungkinan, saya risau ada mahasiswa yang akan ditangkap kerana masa depan mereka akan kelam apabila pihak universiti mengambil tindakan tatatertib," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad.

Beliau berkata sebaiknya sambutan ambang tahun baharu diisi dengan aktiviti keagamaan di samping menunaikan solat hajat memohon agar keamanan berterusan di negara ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Dr Amerjit Singh pula berkata perhimpunan haram tidak harus diadakan kerana akan menggugat keselamatan orang awam.

Beliau berkata perbuatan itu juga boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pelancong tempatan dan asing yang melawat bandar raya ini.

"Tetapi saya percaya pihak polis telah bersedia sepenuhnya berhubung perhimpunan haram ini dan mereka lebih arif mengendalikan kes seperti ini," katanya.

Bagi penjawat awam, Nurazlin Mazene, 27, perhimpunan haram boleh menghuru-harakan keadaan, justeru, penganjur perlu membatalkannya.

Beliau berkata perhimpunan haram boleh menjejaskan pembangunan ekonomi serta mengurangkan keyakinan pelabur asing terhadap iklim pelaburan di negara ini.

"Buat apa nak huru-harakan keadaan, kita kan ada Parlimen, apa-apa yang tidak puas hati boleh bincang di situ. Perhimpunan haram ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Ekonomi pun akan jatuh sebab pelabur takut nak melabur di negara kita," katanya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Sains Malaysia Noor Husna Mohd Shafie pula berkata mahasiswa perlu menjaga reputasi sebagai orang yang memiliki tahap intelektual tinggi serta nama baik universiti dan harus menjauhkan diri daripada perhimpunan haram ini.

"Sekiranya tidak berpuas hati, gunalah medium yang betul. Bukan dengan cara berhimpuan secara haram yang boleh ditangkap polis di samping menjejaskan imej seorang mahasiswa yang dikatakan mempunyai daya pemikiran yang tinggi, yang mempu membeza baik buruk sesuatu perkara," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menasihati orang ramai yang berhasrat menyertai perhimpunan berkenaan agar berfikir secara matang dan tidak terpengaruh dengan aktiviti yang boleh merosakkan keharmonian negara ini.

"Nasihat saya, jangan mudah terpengaruh...biarlah kita memulakan Tahun Baharu 2014 ini dalam suasana yang positif. Jangan mensia-siakan usaha kerajaan sedia ada untuk memaju dan membangunkan negara ke arah yang lebih baik lagi," katanya.