TANAH MERAH:Rakyat Kelantan diingatkan agar terus waspada terhadap risiko dijangkiti COVID-19, bagi mengelak kes positif di negeri itu daripada terus meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr. Izani Husin berkata, ramai rakyat di negeri itu dilihat sudah tidak ambil peduli dengan pandemik itu, seolah-olah tidak berlaku apa-apa.

"Lihat ketika banjir sekarang ini, orang keluar rumah membawa anak kecil main banjir, pergi ke pasar bawa anak kecil, tempat peranginan penuh sesak, sepatutnya benda-benda ini tidak berlaku," katanya selepas Majlis Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan Bagi Tanah Merah, Machang dan Jeli di sini, hari ini.

Izani berkata sebaiknya rakyat di negeri itu masing-masing perlu ada kebimbangan, walaupun berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai simptom penyakit itu, namun perlu diingatkan siapa sahaja boleh menjadi pembawa kepada orang lain.

"Setiap hari pihak kerajaan bercakap berhubungan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebagainya, namun kita lihat rakyat langgar juga, kita buat SOP rakyat cari juga alasan balik kampung berjalan merata-rata dan ia boleh menyebabkan penyakit ini merebak.

"Saya sendiri melihat di pasar raya ada ibu bapa bawa anak kecil, jika ada kerja sikit sebaiknya tangguhkan dahulu duduk di rumah," katanya.

Di Kelantan, sebanyak 1,298 kes COVID-19 dilaporkan sehingga semalam.

-- BERNAMA