LARUT: Rakyat Malaysia yang memasuki Thailand untuk apa sahaja urusan termasuk bercuti, dinasihatkan supaya 'berhati-hati' susulan kebenaran penggunaan ganja di negara jiran itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menasihatkan mereka supaya mengambil tahu mengenai kandungan makanan serta minuman selain memahami undang-undang baharu berkaitan ganja di negara berkenaan.

"Apabila kita buat lawatan... atau menziarahi adik-beradik sebelah sana, berhati-hatilah. Kalau kita faham, bahawa ada perkara-perkara yang pelik-pelik itu (kandungan ganja) maklumkan saja pada mereka bahawa kita tak makan ganja.

"Itu bab (hak) dia sebagai sebuah negara yang merdeka (kebenaran berkaitan ganja), dia nak buat apa, itu dia punya hal, kita tak boleh nak kata kita tak bersetuju, kita nak bangkang, tak boleh.

"Yang pentingnya kita ikut undang-undang kita dan bila pergi melawat ke negara itu dan kita bila pergi melawat ke negara orang luar, kita ikut undang-undang di sana," katanya.

Ganja | Thailand benar penduduk tanam dan hisap di rumah

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kenduri Kampung di Dewan Orang Ramai Anak Kurau, Batu Kurau, pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan awam bahawa segelintir rakyat Malaysia mungkin akan ditahan kerana positif dadah ketika berkunjung ke Thailand.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan, kawalan di pintu sempadan negara akan dipertingkatkan berikutan kemudahan untuk mendapatkan ganja di negara itu.

Bermula 9 Jun lalu, penduduk Thailand dibenarkan untuk menanam pokok ganja di rumah termasuk untuk kegunaan sendiri sebagai bahan makanan dan minuman.