Rakyat Malaysia sewa lesen perniagaan kepada pekerja asing boleh diambil tindakan undang-undang - Rafizi

Umavathi Ramayah
Disember 25, 2023 09:38 MYT
Rafizi Ramli menegaskan, isu lambakan pendatang asing di negara ini adalah susulan pergantungan keterlaluan kepada golongan itu. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Undang-undang anti-Ali Baba yang akan diperkenalkan tidak lama lagi membolehkan tindakan tegas diambil ke atas rakyat tempatan yang 'menyewakan' lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat yang ditetapkan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan, isu lambakan pendatang asing di negara ini adalah susulan pergantungan keterlaluan kepada golongan itu, yang sudahpun bermula sejak berpuluh tahun lalu terutamanya dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
"Ia bermula dengan pergantungan kita kepada pekerja asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita tak nak buat dah kerja dalam industri tertentu.
"Bila pekerja asing dah ramai, orang kita pula pergi sewakan dan bagi lesen (dgn cara Ali Baba) untuk mereka menjalankan perniagaan," katanya dalam kenyataan di aplikasi X, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang pengguna berkenaan tindakan kerajaan untuk mengurangkan kemasukan warga asing di negara kita.

Pandangan saya mengenai pekerja asing: 1) Isu ini isu negara, bukan isu pendatang asing 2) Ia bermula dengan pergantungan kita kpd pekerja asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita tak nak buat dah kerja dlm industri tertentu 3) Sebahagiannya soal gaji, tp dgn gaji https://t.co/OZUNZ7jsUj

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 25, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas lanjut Rafizi menambah, pada masa sekarang, kerajaan sedang menjalankan beberapa langkah untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Salah satunya ialah reformasi pasaran kerja, gaji progresif, latihan dalam industri (AiI), memuktamadkan phasing down pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL)," jelasnya.
Selain itu beliau memberitahu, kementeriannya sedang merangka Rancangan Malaysia yang akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030.
Namun katanya, semua langkah itu memerlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing.
"Tetapi seperti pesan saya kepada majikan dan industri, it is coming because we cannot afford to continue like this," ujarnya.
Pada 21 Disember lalu, media melaporkan, anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang, di sini.
Difahamkan serbuan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.
#pendatang asing #lesen perniagaan #Kementerian Ekonomi #warga asing