Persoalan siapa bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin pembangkang menjadi isu yang boleh meretakkan gabungan mereka dalam Pakatan Harapan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata beliau tidak nampak calon yang lebih berkelayakan dan berkemampuan dalam kalangan mereka untuk menduduki Putrajaya, walaupun mereka membariskan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Anwar, bekas Ketua Pembangkang yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh, memang pada suatu ketika dulu digambarkan pemimpin politik penuh berkarisma dan mempunyai auranya tersendiri.

"Itu dulu, sewaktu beliau masih berada dalam gelanggang UMNO, tetapi kini reputasi dan harga dirinya telah musnah, menjadi kotor dan lunyai dimakan oleh kesan perbuatannya sendiri apabila didakwa bersalah melakukan liwat.

"Bekas Timbalan Perdana Menteri di zaman UMNO pimpinan Dr Mahathir itu bukan lagi hebat seperti dulu. Langkah politiknya semakin layu, longlai dan semakin reput sebaik sahaja memijak tangga penjara," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Najib hargai persahabatan, semangat setiakawan dalam perjuangan UMNO

BACA:
Pakatan Harapan 'perang besar' susulan cadangan mahu Wan Azizah jadi calon PM

Jelasnya, Anwar di sebalik tirai besi menggambarkan masa depan politik beliau semakin berakhir dan sewajarnyalah untuk Anwar berehat daripada dunia politik dan memberi perhatian kepada keluarga.

"Dr Mahathir pula, memang tokoh dan negarawan yang tiada taranya. Pengalaman lebih 22 tahun memacu negara menjadikannya sebagai seorang pemimpin hebat di mata dunia.

"Jasa bekas perdana menteri itu terhadap pembangunan negara dan rakyat sememangnya tidak ada sesiapa pun yang boleh nafikan.

"Itulah realiti kepimpinan Dr Mahathir sebagai seorang perdana menteri dan bekas Presiden UMNO," ujarnya.

Tetapi kata Syed Ali, apabila beliau berpatah arang menentang UMNO, secara tidak langsung kecemerlangan itu sedikit sebanyak telah tercalar.

"Kini, gerak langkah Dr Mahathir semakin menentang arus. UMNO yang didokong berpuluh tahun lamanya kini di mata beliau sudah tidak bermakna lagi. Malang sungguh.

"Ada yang mendakwa rasa hormat dan 'malu' sebahagian besar orang Melayu kepada Dr Mahathir juga semakin pudar. Jika benar, teramatlah malang dan menyedihkan!

"Oleh sebab itu, apabila Pakatan Harapan secara tidak rasminya menamakan Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri, ianya bukan satu kejutan besar," jelasnya.

Sebaliknya kata Syed Ali, ia satu penderaan politik yang sengaja dilakukan Pakatan Harapan ke atas Dr Mahathir sendiri.

"Tergamak pemimpin pembangkang memperalatkan Dr Mahathir, begitulah tergamaknya mereka memperbodohkan rakyat dengan isu fitnah terhadap UMNO yang tidak berkesudahan.

"Menamakan Anwar juga satu lagi tindakan yang akan memalukan negara. Kata orang, rakyat Malaysia pasti 'malu besar' jika Anwar ditabal sebagai perdana menteri.

"Pada hemat saya, sebelum orang mengata, adalah lebih baik beliau tidak menonjolkan diri untuk dilihat sebagai berkelayakan dan bersih untuk menduduki kerusi perdana menteri," katanya.

BACA: 'Baiki hubungan antara parti, baru fikir siapa layak jadi PM' - Nazri

BACA:
Puteri sedia senarai calon PRU14 setiap negeri - Mas Ermieyati

Syed Ali turut terfikir, mengapa pemimpin pembangkang beria-ia menamakan Anwar dan Dr Mahathir sebagai bakal perdana menteri pada masa mereka belum menang PRU ke-14.

"Nampak sangat mereka begitu bernafsu besar dan seperti bermain dengan bayang-bayang, apakah mereka terfikir, UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih lagi mendominasi kerajaan.

"Apakah Pakatan Harapan sudah lupa bahawa kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri yang diberi mandat oleh rakyat.

"Mengapa jika berlaku pertukaran tampuk kuasa selepas PRU ke-14, maka mereka bersungguh-sungguh menamakan Anwar dan Dr Mahathir?" soalnya.

Syed Ali turut menyifatkan pembangkang sememangnya tidak berpijak di bumi nyata, kadang-kadang pelik dan menjadi bahan lawak yang ditertawakan orang ramai.

"Telatah politik mereka yang tidak habis-habis menayangkan cerita lama; akan 'Tawan Putrajaya' akhirnya menjadi bahan basi yang dikitar semula.

"Cerita 'Tawan Putrajaya' sudah diputarkan pada PRU ke-13, tetapi malangnya gagal menarik sambutan rakyat, kerana rakyat tetap setia kepada UMNO.

"Saya menyedari, pembangkang pun tahu, terlalu sukar untuk mereka meraih sokongan rakyat jika mereka benar-benar berpolitik secara betul dan berada di atas landasan yang benar," tegasnya,.

Oleh sebab itu, katanya, jalan pintas untuk mereka menagih perhatian rakyat ialah dengan memutarkan cerita-cerita fitnah, tohmohan, mainan persepsi, isu perkauman dan agama.

"Pemain utamanya sudah semesti adalah DAP, PKR, AMANAH dan BERSATU. Manakala Pas sudah mengambil kata putus untuk bercerai dengan pakatan tersebut.

"Pada saya, apabila Pas pimpinan Tun Guru Haji Abdul Hadi Awang sanggup bercerai dengan Pakatan Harapan, bermakna Pas lebih tahu dan sudah tahu benda yang jijik dan kotor dalam pakatan tersebut.

"Jadi, secara mudahnya juga rakyat terutama orang Melayu boleh memahami apa sebenarnya agenda Pakatan Harapan yang didalangi DAP," katanya.

Syed Ali turut meminta rakyat berfikir dengan menggunakan akal yang waras, bukannya berpedomankan sikap marah dan dendam kesumat.

"Walaupun begitu, UMNO tidak semestinya berasa selamat pada PRU akan datang kerana perhintungan politik selalunya boleh berubah dan bertukar wajah.

"Memang, UMNO sentiasa bersiap-siaga dan sudah bersedia bertempur jika gendang PRU ke-14 dipalu, tetapi mengambil langkah berwaspada adalah sebaik persiapan.

"Secara optimisnya, saya selalu beranggapan dan yakin UMNO pada waktu ini berada pada tahap yang cukup memberangsangkan," ujarnya.

Tambahnya, sambutan orang Melayu terhadap parti yang baru menyambut ulangtahun ke-71 tahun itu sekarang ini di luar dugaan, seolah-olah akan berlaku tsunami politik yang besar kali ini.

"Kegemilangan UMNO pada saya kembali pulih dan walaupun presidennya, Najib diherdik, dihina dan difitnah sepanjang masa dan bertali arus.

"Gelombang kebangkitan rakyat terutama orang Melayu memihak kepada UMNO pimpinan Najib semakin dirasai dan berada di tahap terbaik.

"Untuk apa lagi orang Melayu bergantung harap kepada Pakatan Harapan yang bertuankan DAP?" soalnya lagi.

Tegasnya, orang Melayu tidak pernah dipaksa untuk memihak kepada UMNO tetapi orang Melayu sentiasa diperingatkan bahawa maruah agama, bangsa, harga diri dan masa depan anak cucu mereka terpelihara kerana UMNO.

"Oleh sebab itulah, sebahagian besar orang Melayu tetap menjiwai perjuangan UMNO kerana UMNO sudah sekian lama terpahat di jiwa mereka.

"Jadi, kenapa Najib yang sengaja dimangsakan? Najib hanya diberikan mandat dan tanggungjawab oleh lebih tiga juta ahli-ahli UMNO untuk membela nasib orang Melayu dan mentadbir negara.

"Najib selaku Perdana Menteri telah melakukan segala-galanya yang terbaik untuk rakyat dan negara manakala UMNO pula terus utuh merencanakan masa depannya dengan penuh gemilang," katanya.

Kesimpulannya, Syed Ali berkata beliau hanya memerhati gelagat pemimpin pembangkang yang semakin kekeringan modal politik dan tersasar jauh.

"Jika tidak masakan mereka tergamak menamakan Anwar dan Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri?

"Terfikir juga, mengapa blok pembangkang begitu bersemangat menjual nama Dr Mahathir, apakah ini juga strategi untuk 'mematikan' politik Dr Mahathir sebelum PRU ke-14.

"Dan Anwar konon-kononnya boleh kembali bernafas selepas kematian itu," katanya.