MELAKA: Enggan melepaskan peluang menyertai sambutan Hari Malaysia, lokasi sambutan itu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir mula dipenuhi orang ramai seawal jam 4 petang.

Ramai pengunjung ketika ditemui Astro AWANI berkata, mereka memilih untuk bersedia lebih awal di dataran berkenaan berikutan tidak mahu merempuh kesesakan seperti yang berlaku pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu.

Seorang pesara tentera, Mohd Zairi Raidin,46, tahun berkongsi cerita, dia bersama isteri serta tiga anaknya berkesempatan memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka dengan menggunakan perkhidmatan awam.

Ujarnya, kerana bimbang berlaku kesesakan yang sama, dia memilih untuk datang lebih awal bagi memastikan semua ahli keluarganya dapat tempat duduk yang selesa dan berhampiran pentas utama.

“Daripada pengalaman saya di Dataran Merdeka 31 Ogos lepas, saya kena datang awal untuk dapat tempat duduk, kalau tidak saya tidak dapat tempat dan dari segi pengalamn yang itulah saya kena datang awal bersama keluarga.

“Memang saya tidak sabar untuk saksikan persembahan, tetapi apa yang lebih penting saya harapkan anak-anak muda faham apa itu erti penyatuan dan perjuangan yang sebenar,” katanya ketika ditemui di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini.

Sementara itu, ibu kepada empat anak, Misrah Mohd Kasim,49, berkata meskipun menetap di Melaka, dia tetap merancang perjalanan keluar dari rumah seawal tengah hari untuk ke lokasi majlis sambutan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.

“Sudah berapa tahun kita tidak ada sambutan besar kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi apabila tahu Melaka akan jadi tuan rumah saya memang merancang untuk datang ke sini bersama keluarga.

“Kita dengar hebahan dalam radio dan televisyen pun ada kata akan berlaku kesesakan lalu lintas, jadi saya memang rancang perjalanan untuk datang awal lah,” ujarnya.

Tambahnya, dia turut membawa anak-anak dan cucu memandangkan mereka juga teruja untuk menyaksikan sendiri persembahan yang disediakan serta melihat pemimpin negara dengan jarak yang lebih dekat

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI sehingga jam 6.30 petang mendapati orang ramai sudah mula memenuhi ruangan yang telah disediakan, namun hanya segelintir yang mengenakan busana era 50-an dan 60-an seperti disarankan