KUBANG PASU: Kelaziman setiap kali tiba bulan Ramadan, golongan kanak-kanak paling teruja akan ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Dua tahun suasana itu tidak dapat dirasakan namun tarawih pertama malam tadi di Masjid Umar Abdul Aziz, Kubang Pasu kembalikan senario indah itu.

Bagi seorang jemaah cilik Mohammad Salahudin Mohd Nazir, 10, sebaik sahaja bapanya memaklumkan dapat ke masjid, dia berasa teruja.

Katanya, di sinilah dia dapat bertemu dan berkumpul besama rakan yang lain sambil menunggu solat selesai dan hidangan moreh selalu dinantikan.

"Seronok boleh sembahyang dan selawat. Dulu masa PKP tak boleh datang solat tarawih. Hari ini seronok boleh jumpa kawan-kawan," katanya.

Jendela Ramadan

Mohammad Hafiz Mohd Ridzuan, 10, yang menuntut di sekolah agama berasa bersyukur kerana baginya dapat mengejar ganjaran pahala pada bulan mulia ini dengan solat berjemaah dan tadarus al-Quran.

"Selain daripada tarawih, solat Jumaat, solat raya dan solat istiqaf di masjid," katanya.

Menurut Imam 1 Masjid Umar Abdul Aziz, Mohamad Mahyudin Yusop, 49, bersyukur apabila saf boleh mula dirapatkan, jumlah jemaah meningkat begitu ketara.

Katanya, bagaimana pun masih ada yang kekok untuk merapatkan saf memandangkan amalan tersebut telah dua tahun ditinggalkan.

Katanya, kehadiran jemaah sangat baik terutama golongan muda yang datang ke masjid.

Rata-rata mereka yang hadir membawa anak-anak dan ahli keluarga masing-masing.

Jelasnya, dengan pengimarahan masjid dibenarkan semula pelbagai aktiviti telah diaturkan sepanjang Ramadan ini.

"Kita adakan pengajian al-Quran anak-anak kita di masjid ini tetap diteruskan walaupun dalam bulan puasa bermula dari jam 3 petang hingga jam 5 petang insyaAllah.

"Itu sebahagian daripada aktiviti yang kita adakan di masjid ini. Kita jadikan masjid ini pusat sehenti untuk masyarakat bukan sekadar kita datang untuk solat sahaja, tujuan utama kita nak menghimpunkan masyarakat," katanya.

Seorang jemaah masjid yang ditemui, Mohd Asri Ahmad, 54, meluahkan rasa gembira dan terharu apabila tuntutan merapatkan saf dapat dilaksanakan semula.

Katanya, perkara itu amat dinanti-nantikan oleh seluruh jemaah masjid dan surau kerana penjarakan saf solat berjemaah begitu asing.

"Kita rasa berbahagia, teringat balik zaman yang kita dapat suasana yang rasanya yang amat hebat pada malam ini, kita rasa ramai yang mengimarahkan masjid rasa suasana dulu dapat dihidupkan kembali," katanya.