SUNGAI PETANI: Beberapa wad di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, terpaksa ditutup sementara berikutan 30 kakitangan hospital terbabit didapati positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, menjelaskan hospital itu tidak ditutup dan masih beroperasi, sebaliknya penutupan hanya membabitkan wad tertentu sahaja untuk sanitasi.

Katanya, bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

Jelas beliau, terdahulu pihak hospital mendapati terdapat kakitangan terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan positif COVID-19.

"Hospital tak ditutup cuma wad yang terbabit itu ditutup untuk sanitasi... untuk buat pembersihan.

"Selain itu, jadual janji temu di bahagian pesakit luar (OPD), klinik pakar disusun semula.

"Bagi  pembedahan kecemasan dan kes kecemasan lain, pesakit yang perlu datang ke hospital boleh datang seperti biasa, tiada masalah. Cuma kes-kes biasa di OPD (dan klinik pakar) kita tak terima buat masa sekarang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Beliau mengulas mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup selepas 100 kakitangannya dijangkiti COVID-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

Mesej itu turut menyatakan kononnya terdapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar hospital hanya mengambil dan merawat kes kecemasan sahaja berikutan penularan virus varian berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati meminta orang ramai supaya tidak bimbang dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).