KUALA LUMPUR :Proses kelulusan vaksin COVID-19 di Malaysia mungkin mengambil masa sedikit lama kerana kerajaan benar-benar mahu memastikan vaksin tersebut berkesan dan selamat untuk rakyat.

Begitupun, Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, ramai pihak berharap keputusan lebih jelas dapat diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia bagi memastikan semua pihak dapat bersedia dan memberikan kerjasama terbaik dalam usaha menamatkan pandemik itu secepat mungkin.

“Apa yang dilaksanakan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara), saya  difahamkan bahawa mereka cuba bersungguh-sungguh untuk berikan satu sandaran atau bukti, fakta kukuh.

“Ia bagi memastikan apa yang hendak diberikan kepada rakyat benar-benar selamat dan berkesan seperti diharapkan. Kita boleh imbas semua vaksin terhadap denggi yang timbulkan beberapa kesan sehingga ia terpaksa ditarik balik.

“Dalam pola kes di dalam negara yang meningkat dan tidak ketentuan, kita memang mengharapkan agar kelulusan atau semakan data tersebut dapat dipercepatkan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.


Beliau turut mencadangkan negara mendapatkan pandangan daripada negara lain yang terlibat dengan wabak itu untuk seimbangkan pendapat.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan bukan satu isu besar bagi kerajaan untuk mempercepatkan kelulusan penggunaan vaksin Pfizer, sepertimana yang dilakukan negara lain, termasuk Singapura.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pakar-pakar kesihatan juga menerima pertanyaan mengapa Malaysia mengambil masa begitu lama untuk membuat keputusan meluluskan penggunaan vaksin di negara ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui, Malaysia bersikap berhati-hati terhadap aspek keselamatan vaksin.