KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia di Guinea dilaporkan selamat selepas negara itu berdepan rampasan kuasa tentera pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan Kedutaan Malaysia di Conakry, Guinea dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Sehingga kini, terdapat 12 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan kedutaan termasuk pegawai kedutaan dan ahli keluarga.

Bagaimanapun, seorang rakyat Malaysia telah dilaporkan kembali ke negara untuk bercuti dua minggu lalu.

"Semua dilaporkan selamat. Pasukan peralihan dikenali National Rally and Developtment Commitee (CNRD) kini sedang mengadakan mesyuarat dengan menteri, kerajaan dan beberapa ahli politik.

"Setakat ini tidak ada protes dilaporkan berlaku," jelas kedutaan itu.

Sejak Ahad lalu, Guinea menyaksikan ketidakstabilan politik selepas Presidennya, Aplha Conde, ditahan oleh sebuah unit tentera.

Menurut Kolonel Mamady Doumbouya, penahanan itu disebabkan isu kemiskinan dan endemik rasuah menjadi punca mereka bertindak sedemikian.

Unit tentera itu turut mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan kerajaan dan Parlimen.

Semua pasar raya, bank dan pasar terpaksa ditutup susulan situasi semasa di Guinea.

Bagaimanapun, perjalanan rentas sempadan keluar masuk dari Guinea melalui pintu udara masih dibuka, sementara itu sempadan darat telah ditutup.

Guinea merupakan antraa negara termiskin di dunia dengan populasi penduduk 13.5 juta rakyat.