KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjanjikan kegemilangan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan telah memberikan sinar baharu dalam memperkasakan kehidupan peneroka.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh berkata kerajaan telah memberi penumpuan kepada pelan pemulihan FELDA melalui RMK-12 bagi membantu agensi itu kembali semula ke landasan kegemilangannya sebagai pemacu pembangunan penempatan negara.

"Kerajaan melihat potensi yang dimiliki oleh FELDA. Inisiatif-inisiatif proaktif yang bakal dilaksanakan kerajaan untuk FELDA merupakan satu bukti sokongan yang padu dan berterusan bagi memastikan FELDA kembali ke era kegemilangan serta kecemerlangan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat perladangan itu hari ini.

Menurut Idris, pelaksanaan dan usaha kerajaan secara penstrukturan semula kewangan FELDA melalui pemberian Sukuk bernilai RM9.9 bilion, selain daripada Penyelarasan Hutang Pinjaman Peneroka berjumlah RM8.3 bilion akan memanfaatkan 112, 638 orang peneroka, ini merupakan inisiatif kerajaan yang paling berimpak tinggi selaras dengan hasratnya untuk memperkasakan FELDA dan taraf sosioekonomi warganya.

Dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan agensi itu, peneraju dalam jaminan keselamatan makanan negara dan pertanian pintar, merupakan satu suntikan semangat untuk FELDA terus menerajui kepelbagaian pertanian serta penternakan yang bernilai tinggi agar warganya terus mampan dan menikmati taraf hidup yang jauh lebih baik.

"Penggunaan tanah secara optimum melalui kepelbagaian aktiviti pertanian pintar dan berkelompok semestinya memberikan peluang kepada generasi baharu khususnya dalam meningkatkan ekonomi bidangan melalui penggunaan teknologi termaju bagi meningkatkan kualiti hasil tanaman," tambah Idris.

Menurut Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff pula, keprihatinan kerajaan dalam isu perumahan generasi kedua, memberi impak yang positif kepada warga generasi baharu terutama yang berada di bandar untuk kembali ke kampung halaman dan merancakkan sektor ekonomi tanah rancangan.

"RMK12 juga dilihat satu aspirasi inklusif yang turut melibatkan usaha kerajaan dalam menambah baikkawalan sempadan dan penguatkuasaan keselamatan di FELDA Sahabat terutamanya.

"Secara tidak langsung pembinaan ini bakal memberi manfaat dalam peningkatan ekonomiserta keharmonian sejagat," katanya.

Sulong juga menyatakan penambahbaikan kemudahan infrastruktur perhubungan jalan raya di kawasan rancangan dengan peruntukan RM135.3 juta, menaik taraf fasiliti, aset perkhidmatan kecemasan dan pelaksanaan program rebat bil elektrik turut membantu mengurangkan beban kos sara hidup termasuk menambah baik struktur sosioekonomi warga FELDA.

"Justeru itu dengan harapan dan tanggungjawap yang diberikan, FELDA serta seluruh warganya komited untuk menjadi warga yang mampan dan berdaya saing selaras dengan perubahan globalisasi.

"Pengurusan FELDA menyambut baik peluang-peluang ini dan akan melaksanakan pengurusan tadbir urus yang cemerlang bagi melonjakkan kembali keyakinan peneroka serta generasi baharu dan seterusnya mewujudkan jalinan ikatan kebersamaan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA