Rang undang-undang baharu kawal penggunaan vape dijangka dibentang hujung tahun ini

Bernama
Julai 5, 2019 06:53 MYT
Pada 27 Jun lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik. - Gambar fail
Rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan sisha dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau sesi tahun depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata jawatankuasa khas berkaitan isu itu yang dipengerusikan olehnya ketika ini sedang merangka undang-undang baharu berkenaan memandangkan pihaknya masih memerlukan pandangan semua pihak termasuk penglibatan pemegang taruh.
"Jawatankuasa khas ini baharu diwujudkan minggu lepas dan kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari kaedah terbaik mengawal penggunaan vape, sisha dan juga rokok.
"Kita tahu bahawa 90 peratus daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan tersebut.
BACA: Jawatankuasa khas kawal penggunaan vape, rokok elektronik ditubuhkan - KKM
"Apa yang kita lihat, pengguna vape pada mulanya menganggap menghisap vape sebagai satu trend namun ketagihan itu dibimbangi mampu mendorong pula untuk bertukar kepada menghisap rokok," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan acara memberus gigi beramai-ramai secara berirama di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, di sini hari ini.
Pada 27 Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik.
-- BERNAMA
#Dr Dzulkefly Ahmad #Dr Lee Boon Chye #jawatankuasa khas vape #Menteri Kesihatan #pengunaan rokok elektronik #Rang Undang-Undang #rokok elektronik #Timbalan Menteri Kesihatan #vape dan sisha