Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang telah ditambah baik, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata pihaknya telah mengemukakan Laporan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC 2019 kepada semua ahli parlimen, pada Rabu.

"Selepas ini, saya akan bawa cadangan ini kepada jemaah Menteri dan jika mereka bersetuju dengan cadangan daripada jawatankuasa khas ini, maka kita akan teruskan pembentangan RUU ini pada minggu hadapan.

"Laporan itu mengemukakan kira-kira 36 cadangan penambahbaikan daripada yang dibincangkan sebelum ini, iaitu 24. Semua cadangan ini akan diambil berat oleh pihak kerajaan dan sekiranya ada mana-mana yang sesuai, kita akan ambil kira," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Liew turut memberi jaminan, semua cadangan jawatankuasa itu akan diambil kira dan akan memilih syor yang sesuai, sebelum kerajaan membentangkan RUU berkenaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, kandungan laporan dan syor yang dicadangkan jawatankuasa terbabit tidak dapat didedahkan kepada umum kerana berstatus embargo sehingga dibentangkan minggu depan.

"Ia masih embargo, jadi saya tidak dapat dedahkan sebarang maklumat setakat ini sehingga ia dibentang pada minggu depan," katanya yang turut memuji hasil cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas itu berdasarkan pelbagai sesi bertemu orang awam selama enam minggu sebelum ini.

Dilaporkan pada 7 Okt lepas, RUU itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan yang akan dibincangkan dengan lebih teliti sebelum dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat.

Ia dibentangkan buat pertama kali di Dewan Rakyat pada 18 Julai dan ia bertujuan bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam meningkatkan integriti dan keupayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

IPCMC akan bertindak sebagai badan bebas untuk meneliti aduan dan mengendalikan siasatan terhadap salah laku dalam kalangan anggota polis.

-- BERNAMA