KLUANG: Seorang lelaki yang sedang memancing di tepi sungai berdekatan Ladang Tereh Mill dekat sini terkejut apabila menemui satu rangka manusia pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 6 petang itu sebelum lelaki berkenaan membuat laporan di Balai Polis Paloh pada jam 8.30 malam.

"Tempat kejadian di tepi sungai Ladang Tereh Mill di bawah kawasan pentadbiran Balai Polis Paloh.

"Mayat tanpa identiti tersebut didapati berada di tepi sungai di mana jarak antara sungai dengan mayat dijumpai kira-kira 1.8 meter.

"Mayat dalam keadaan mengiring dan hampir keseluruhan mayat sudah kelihatan tulang dan rangka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap mayat dibuat pasukan forensik dan mendapati terdapat baju T warna biru serta terdapat juga baju sejuk berlengan panjang.

Namun kata Bahrin, tiada sebarang dokumen peribadi pada badan mayat.

Menurutnya, mayat dihantar ke Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifisasiakn sebagai kematian mengejut (SDR). -Sinar Harian