SIBU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu agensi berwajib merapatkan jurang maklumat mengenai pakej-pakej bantuan kerajaan dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred) Sarawak itu berkata kerajaan memberikan fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan banyak pakej ditawarkan untuk memastikan golongan berkenaan mendapat manfaat bagi memacu perniagaan mereka.

Beliau meminta agar golongan tersebut tidak berasa rendah diri dengan perniagaan kecil mereka seperti menjual makanan di tepi jalan atau menjual sayur-sayuran kerana aktiviti perniagaan itu boleh memacu ekonomi negara.

"Jangan rendah diri kerana ramai usahawan berjaya bermula secara kecil-kecilan. Jangan malu bertanya tentang bantuan yang ada," katanya semasa merasmikan program Jum Regista Bisnes anjuran kementeriannya di sini pada Selasa.

Sementara itu, Awang Tengah meminta agar peniaga kecil dan sederhana mendapatkan lesen atau permit serta mendaftarkan perniagaan mereka bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan.

Mengambil iktibar daripada pandemik COVID-19, beliau berkata banyak perniagaan terjejas dan ramai kehilangan punca pendapatan.

Meskipun kerajaan menyalurkan bantuan kepada peniaga kecil melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang, ramai tidak menerimanya kerana mereka tidak berdaftar dan menyebabkan mereka tidak dapat membina semula perniagaan.

-- BERNAMA