Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua anggota parti yang akan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO bermula Jumaat untuk merapatkan saf perjuangan parti.

Perdana Menteri juga mahu semua anggota perwakilan menggunakan kesempatan mesyuarat itu untuk bangkit bersama-sama memperincikan persiapan jentera dan menggariskan strategi ke arah kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Jangan ada kelalaian atau kekurangan nanti apabila kita semua dipanggil berjuang di barisan hadapan untuk UMNO.

"Insya-Allah kita semua akan muncul sebagai pejuang terbaik. Selamat bersidang saya ucapkan," kata Perdana Menteri melalui laman Facebook dan Twitternya, Khamis malam.

Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO akan berlangsung hari ini sehingga 26 Ogos di seluruh negara.

Mesyuarat tersebut diadakan selepas mesyuarat UMNO cawangan yang berlangsung dari 17 Mac hingga 30 April lepas.

-- BERNAMA