KUALA LUMPUR: Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan membentangkan enam tuntutan terhadap kerajaan dan ahli politik di negara ini.

Menurut Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub, kesemua tuntutan itu sebagai transformasi nilai melalui inisiatif politik #MalaysiaTanpaRasuah.

"Kami ingin memulakan semula sebuah kebangkitan untuk menentang najis rasuah yang sudah berakar umbi dalam negara berpuluh tahun, ini satu tugas yang berat.

"Sebelum itu, saya ingin jelaskan saya bukan orang politik, tiada niat politik dan tidak ada cita-cita untuk dapat habuan politik.

"Begitu juga 13 pasukan kami dan 400 NGO, sebenarnya apa yang kami buat menyelamatkan negara ini daripada dirosakkan dan dihancurkan oleh kerakusan rasuah," katanya dalam Majlis Pelancaran Politik #MalaysiaTanpaRasuah secara maya pada Sabtu.

Keenam-enam tuntutan itu masing-masing dibentangkan oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya BERSIH 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption & Cronysm, Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Undi18.

Antara tuntutan itu ialah Pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP), perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik dan kebebasan serta ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Pelan Antirasuah Nasional (NACP)

Bagi Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Untuk Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4 Center),
Cynthia Gabriel, kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam NACP bagi memastikan bahawa gejala rasuah dapat dibendung.

Ujarnya, reformasi itu meliputi institusi kerajaan, parlimen, sektor awam dan swasta. Pelan secara komprehensif itu dijangka dapat mengembalikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

"Pelan Antirasuah Nasional ini perlu menjadi satu keutamaan negara, semalam kami memang menyambut baik beberapa tuntutan kenyataan akhbar Perdana Menteri.

"Kami nak membuat tuntutan bahawa NACP dimasukkan ke dalam keutamaan pengurusan kerajaan, ia sangat penting kerana keadilan paling utama ada isu rasuah di Malaysia, kami tidak lagi boleh terima rasuah di negara ini," katanya ketika membentangkan perkara itu secara maya.

Akta Pembiayaan Dana Politik

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh yang menbentangkan berhubung Akta Pembiayaan Dana Politik pula berpendapat, akta itu perlu dibentangkan secepat mungkin.

Ujarnya, isu dana politik sudah terlalu lama dibincangkan, namun tiada akta yang dapat memberi garis panduan yang jelas, sekaligus membuka ruang kepada salah guna kuasa dan rasuah berlaku.

Justeru, menerusi akta itu, parti politik tidak lagi bergantung kepada individu mahupun pihak tertentu yang menginginkan sebarang imbuhan, sebaliknya ahli politik boleh menumpukan sepenuhnya kepada kepentingan rakyat.

"Parti yang menerima duit daripada kerajaan mengurangkan kebergantungan dana dari pihak berkepentingan, taikun bisnes yang lazimnya inginkan imbuhan.

"Pendanaan awam boleh libatkan wanita dan orang muda dalam politik jika syarat dikenakan kepada parti. Dana khas akan diberi jika parti meletakkan wanita dan orang muda dalam pilihanraya, kami ingin meningkatkan wanita dan anak muda.

"Pendanaan awam juga boleh hasilkan keadilan kepada parti kecil tidak mempunyai peluang menang besar dalam pilihanraya. Pendanaan awam ini dapat meningkatkan ketelusan dan kawal selia kepada parti politik serta mengurangkan rasuah," katanya lagi.

Kebebasan dan ketelusan SPRM dan Peguam Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara juga perlu memerlukan perubahan segera dalam mewujudkan tadbir urus tinggi di negara ini.

Menurut Presiden Transparency Insternational Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, terdapat reformasi yang perlu dilakukan.

Ia termasuk meletakkan SPRM dibawah kuasa Parlimen serta perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM menerusi Jawatankuasa Khas di Parlimen dan bukannya atas nasihat Perdana Menteri.

"Langkah ini meningkatkan keyakinan masyarkaat fungsi dan kedudukan SPRm serta bebas daripada sebarang pengaruh kuasa eksekutif.

"Apa yang kami tuntut, SPRM dibawah suruhanjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

"Ini membolehkan proses perlantikan Ketua Pesuruhjaya menerusi Parlimen. Dibawah Seksyen 5 akta SPRM 2009, ketua pesuruhjaya dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, situasi ini dilihat satu kekangan, kerana kebebasan SPRM terjejas," katanya.

Dari sudut Jabatan Peguam Negara pula jelasnya, fungsi pendakwa raya perlu dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara.

"Kami cadangkan fungsi pendakwa raya dikeluarkan daripada pernaan Peguam Negara, bagi memperkukuhkan dan kebebasan fungsi dan peranan pendakwaraya yang kini berada di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Peguam Negara ada dua peranan berasingan dan berbeza di bawah Perlembagaan Persekutuan, beliau adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan, pada masa sama bertindak pendakwaraya.

"Sebagai pendakwa raya Peguam Negara dikehendaki bertindak secara bebas dan tidak berat sebelah dan bertindak sebagai penjaga kepentingan awam tanpa pertimbangan politik," katanya lagi.

Justeru, menerusi cadangan itu jelasnya, dapat mengelakkan sebarang pencanggahan terhadap kepentingan negara dan kepentingan awam.

Tiga lagi cadangan oleh gabungan itu antaranya memperkenal dan mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti, pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 dan keenam iaitu melaksanakan reformasi Parlimen.