KAJIAN terhadap rasuah yang berdasarkan bukti (evidence-based survey) adalah lebih tepat dan merupakan data yang tidak boleh disangkal jika dibandingkan dengan kajian berasas persepsi semata-mata.

Pengarah Pusat Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Suhaimee Saahar berkata, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bukanlah pengukuran atau instrumen yang mempunyai bukti akademik.

"Ia digunakan dari segi pengukuran persepsi rasuah dan boleh dipersoalkan dari segi kebolehpercayaan setiap item yang dibina seperti soalan-soalan tinjauan yang digunakan," katanya.

Sehubungan itu, jelas Suhaimee, beliau bersetuju dengan pendirian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membentuk tinjauan yang berdasarkan bukti bersama United Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) bagi mengukur tahap rasuah secara lebih menyeluruh dan tepat.

Tambah beliau, salah faham mengenai tugas dan peranan SPRM sentiasa dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak untuk mengalih tumpuan rakyat daripada usaha sebenar SPRM.

"Persepsi ini dibentuk oleh setengah-tengah pihak sebagai kaedah mengalihkan isu oleh pihak yang sedang didakwa di mahkamah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa SPRM meneliti pelaksanaan tinjauan berasaskan bukti yang bukan sekadar data persepsi, tetapi merangkumi pengalaman dan insiden rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata, CPI yang sentiasa digunakan sebagai petunjuk betapa teruknya situasi rasuah di Malaysia hanyalah kajian berdasarkan tinjauan beberapa organisasi secara persepsi termasuk pelabur asing terhadap sektor perkhidmatan awam, bukannya mengukur tahap rasuah sebenar.

Katanya, tinjauan rasuah/integriti yang dijalankan oleh United Nation On Drugs and Crime (UNODC) bertujuan melihat persepsi dan sikap penjawat awam terhadap persekitaran kerja, pengalaman dan penglibatan mereka dalam jenayah dan rasuah.


Dr Suhaimee Sahaar ialah Pengarah Pusat Perang Saraf Media dan Informasi UiTM

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.