KUALA LUMPUR: Rasuah, gejala sosial yang diwariskan dalam sistem politik negara perlu segera dihapuskan dengan cara kembali kepada nilai tauhid.

Ahli akademik, Prof Tan Sri Mohd Kamal Hassan berkata, punca tumbuhnya rasuah dan kemunafikan dalam budaya politik Melayu adalah kerana hilangnya rasa malu yang merupakan bahagian penting dalam sistem adab masyarakat Melayu dan Islam.

Tegasnya, situasi ini menimbulkan kekecewaan apabila fenomena adab dan akhlak mahmudah semakin hilang, dan politik tidak beretika mengambil tempat biarpun pada ketika pandemik melanda, yang menyaksikan jutaan rakyat jatuh miskin.

"Dalam Islam maju mundur negara atau tamadun bukan kerana kehebatan ekonomi atau teknologi, kemodenan dan kemunduran tidak bergantung pada penerimaan atau penolakan segala yang baharu, kuasa bukan hak mutlak manusia tetapi amanah yang diberikan Pencipta dengan syarat tertentu.

"Politik bukan perebutan kuasa atau pemerintahan tanpa menilai keluhuran etika.

"Politik adalah pengurusan hal ehwal keduniaan yang penting dalam menegakkan agama Islam dan ia perlu mengikut prinsip dan hukum yang telah ditetapkan agama," katanya di majlis pelancaran buku tulisannya, Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics, pada Khamis.

Turut diadakan serentak ialah forum khas anjuran Sinar Harian yang disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Justeru, beliau melihat prinsip penting yang perlu kembali segera dihidupkan dalam dunia politik Melayu Islam ialah memenuhi tuntutan Allah SWT, dan mengutamakan agama dalam mencari jalan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang timbul.

Pendapat beliau dipersetujui Maszlee yang mahu nilai samawi (ketuhanan) dibawa dan dijunjung tanpa mengira anutan agama dan bangsa, apatah lagi pegangan politik.

"Semua ini berlaku kerana tiadanya rasa malu. Malu bermula di rumah, daripada individu tidak kira Muslim Melayu atau bukan.

"Kalau ada rasa malu, dalam sistem apa pun mereka hidup, mereka ada jati diri. Sekarang ini orang tak pergi kerja, mengular, tak malu, disogok, salah guna kuasa untuk dapat kekayaan, mereka tak malu, siap guna nama Tuhan bersumpah. Ini yang perlu diperbetulkan," katanya.

Turut berkongsi pendapat itu ialah Zambry, yang melihat ketaksuban mengejar kemajuan dan kemodenan menghilangkan ciri dan nilai kerohanian.




"Masyarakat sekarang mengejar satu dunia iaitu materialistik, maka nilai rohani sudah hilang. Tak ada rasa berdosa, bertanggungjawab dengan Tuhan.

"Itu yang mahu ditekankan dalam buku ini sebab itu salah satu aspek yang ditekankan ialah kembali kepada sistem nilai moral, kena ada kepimpinan berasaskan nilai moral, god fearing, bertanggungajwab pada Allah kerana semua akan dinilai," ujarnya.