KUALA LUMPUR: Skandal yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menguatkan lagi ura-ura berkaitan isu ketelusan dalam agensi berkenaan.

Namun bagi Pengasas Pusaka, penulis dan wartawan, Eddin Khoo, beliau melihat isu ketelusan itu tidak ubah seperti satu retorik pihak tertentu semata-mata.

"Sekarang kita lihat bagaimana sistem itu menangani dirinya sendiri, apakah amalan ini menjadi budaya dan sememangnya ini soal budaya.

"Kita bangkitkan persoalan haruskah beliau (Azam) berehat sementara, sepatutnya ya tetapi itu tidak menjadi amalan atau budaya kita.

"Kadang-kadang rakyat macam sudah masuk lubang ala 'Alice in the Wonderland'.

"Setiap hari kita lihat isu-isu berkaitan institusi, kita terperangkap dengan istilah-istilah teladan dan ketelusan yang tak ada makna langsung dan tak bernyawa, sebaliknya hanya wujud sebagai retorik," katanya.

Ia dipersetujui Pengarah Eksekutif Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4), Cynthia Gabriel yang menyifatkan skandal itu memberi titik jelas perlunya rombakan segera dilakukan.

"Sidang media Tan Sri Abu Zahar Ujang merupakan satu communication disaster, ada beberapa perkara yang diperkatakan menonjolkan yang SPRM itu tidak bebas.

"SPRM sebuah badan siasatan, mandatnya ialah siasat dan jaga integriti, pencegahan rasuah dan sebagainya. Tenaga kerja lebih 3,000 jadi kuasa dan sumber mereka besar.

"SPRM di bawah Jabatan Perdana Menteri, ini isu pokok yang menunjukkan dari segi struktur mereka tak bebas, pengaruh eksekutif itu besar.

"Funding mereka pula datang dari bajet dan Jabatan Perdana Menteri, jadi mereka mungkin terjejas kalau ambil kes yang membabitkan ahli politik yang besar.

"Jadi pengaruh politik ini perlu dipotong terus kalau betul nak jadi badan yang bebas," tegasnya.

Kedua-dua mereka menjadi tetamu program "Dialog Tiga Penjuru" bertajuk "Kontroversi Rasuah: Lawan, cuti atau letak jawatan?" yang bersiaran pada Khamis.

Turut serta ialah Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Minggu lalu, Azam tampil menjawab persoalan besar berhubung kontroversi pemilikan berjuta unit saham dikaitkan dengan Azam sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti yang didakwa.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, dan mengakui tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.