PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, dijadual semula pada 26 Jun ini di Mahkamah Rayuan.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes secara dalam talian hari ini, selepas pihaknya memohon penangguhan pendengaran rayuan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.

"Kami mohon penangguhan kerana kami memerlukan masa untuk membalas hujahan pihak pendakwaan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan mengenai tarikh tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

-- BERNAMA